BELUM reda fenomena k-drama My Royal Nemesis, muncul pula Agent Kim Reactivated yang membariskan pelakon hebat seperti So Ji-sub, Son Na-eun, Choi Dae-hoon dan Yoon Kyung-ho.
Naskhah 10 episod tersebut mula bersiaran sejak 26 Jun lalu dan terus meledak dalam kalangan penggemar drama Korea kerana menampilkan genre aksi komedi serta lakonan hebat para pelakon terutama Ji-sub.
Baru bersiaran sebanyak tiga episod, lakonan Ji-sub meraih pujian dan mengubat kerinduan peminat untuk menonton naskhah aksinya.
Drama ini mengisahkan Kim Seong-jun lakonan Ji-sub sebagai pengurus di sebuah bank simpanan dan bapa tunggal yang membesarkan anak perempuannya, Min-ji.
Di sebalik kehidupan sederhana itu, Seong-jun menyimpan satu rahsia besar yang tidak pernah didedahkan kepada sesiapa, termasuk anaknya sendiri iaitu dia merupakan bekas ejen perisik elit yang pernah menjalankan pelbagai operasi sulit berisiko tinggi.
Rahsia tersebut perlahan-lahan terbongkar selepas Min-ji tiba-tiba hilang. Sejak detik tersebut, Seong-jun terpaksa menggunakan kemahiran luar biasanya sebagai bekas perisik bagi menjejaki anak perempuannya.
