NAMA Datuk Yusry Abdul Halim bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air.
Selebriti berbakat besar ini sudah lebih tiga dekad bergelumang dalam pelbagai cabang seni.
Bermula sebagai seorang daripada trio popular, KRU, keupayaan seni Yusry kemudian berkembang ke cabang lain, termasuk menggubah lagu, berlakon dan seterusnya bergelar sutradara filem.
Yusry pada era kegemilangannya pernah menjadi kegilaan anak muda dek ketampanan dan populariti yang diraihnya ketika itu.
Filem-filem lakonannya juga mendapat kutipan pecah panggung antaranya Mr. Cinderella, Cinta Kolestrol, Kuliah Cinta dan Hingga Hujung Nyawa.
Begitu juga dengan filem arahannya sendiri seperti Cicakman 1,2,3, Hikayat Merong Mahawangsa dan Karak.
Lama duduk di kerusi pengarah, anak kedua daripada empat beradik itu seakan-akan selesa berada di posisi tersebut sehingga kerjaya nyanyian dan lakonannya tidak dipedulikan.
Masa bergulir, sehinggalah pada 2018, KRU mengejutkan peminat apabila mengumumkan pembubaran mereka sebagai sebuah kumpulan.
Namun, segalanya berubah apabila KRU kembali dengan konsert GenKRU pada 2025 dan mencetuskan fenomena tersendiri sehingga nama mereka dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records untuk Persembahan Terbanyak Dilakukan Dalam Satu Siri Konsert dan Penjualan Tiket Konsert Terpantas Dalam Tempoh 1 Jam.
Fenomena luar biasa itu sebenarnya menjadi titik permulaan buat Yusry untuk kembali bergiat aktif sebagai seorang artis.
Konsert GenKRU merupakan turning point dalam kerjaya kami. Kita ada enam konsert dalam satu tahun. Itu sesuatu yang luar biasa.
“Apa yang kami suka adalah, kami hanya terlibat sebagai penyanyi. Yang lain semuanya diuruskan penganjur. Kami tak perlu pening untuk micro manage.
“Tahap keseronokkan yang kami rasai agak berlainan. Kami tak perlu lagi risau tentang penjualan tiket, sistem bunyi, pakaian, gambar dan sebagainya.
“Kami temui cinta baharu sebagai seorang penghibur,” katanya.
Tahun ini pula nama Yusry sekali lagi menjadi bualan ramai apabila muncul dalam drama Dendam Seorang Mentua.
Watak Datuk Muzaffar lakonannya berjaya mencetuskan fenomena tersendiri sehingga membuat ramai rakyat Malaysia melekat di hadapan kaca televisyen setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang.
Fenomena tersebut sekali gus menjadikan nama Yusry kembali hangat di pasaran.
“Sejujurnya saya sendiri tak sangka drama ini dan watak saya akan menjadi viral. Siapa sangka hero tua akan diminati ramai?
Saya terkejut bila pihak produksi kata saya akan bawa watak utama. Mana mungkin lelaki berusia 53 tahun jadi hero. Selalunya watak bapa atau abang.
“Waktu saya baca skrip drama ini, saya tertarik dengan jalan ceritanya yang agak berlainan. Tak pernah lagi dibuat di Malaysia.
“Saya beritahu diri saya sendiri dan isteri saya iaitu Lisa, bodoh jika saya tak buat drama ini. Orang selalu bising kenapa artis lama tidak diberi peluang untuk bawa watak utama. Jadi bila dah ada peluang sebegini, lebih baik saya buat.
“Kalau saya tak buat, pelakon senior lain juga yang akan ambil watak ini. Saya beritahu Lisa, saya ada masa terluang, jadi saya akan lakukan,” kongsinya.

TANPA bayangan KRU, Yusry mengakui berdepan tekanan berbeza, namun harus beradaptasi dengan reaksi peminat zaman sekarang terhadap karya solonya.
Tanpa bayangan KRU
Ibarat durian runtuh buat peminat setia Yusry, tahun ini dia juga muncul dengan lagu solo baharu berjudul Jiwa & Raga terbitan syarikat rakaman Sony Music Malaysia.
Kali terakhir Yusry bergerak sebagai penyanyi solo adalah 23 tahun lalu menerusi album yang memuatkan lagu hit seperti Dekat Padamu dan Warna Kehidupanku.
Menariknya kali ini bapa kepada tiga orang anak itu mahu lari daripada ‘DNA’ KRU lantas memilih Luca Sickta sebagai komposer untuk single baharunya.
“Ini kali pertama saya bergerak sebagai penyanyi solo tanpa bayang-bayang KRU. Agak menakutkan, tetapi saya percayakan Sony Music. Mereka tahu apa yang mereka lakukan.
“Perkara pertama yang saya beritahu Sony Music, saya tak mahu tulis lagu sendiri. Kerana jika saya tulis, akan kedengaran seperti KRU.
Bila Luca berikan beberapa buah lagu, saya beritahu saya mahu lagu yang bukan lagu balada atau hip hop. Saya mahu lagu rock. Jadi ini juga saya cabaran untuk dia,” jelasnya.
Ditanya kenapa dia memilih genre balada rock untuk single baharunya, Yusry punya alasan. Dia sentiasa mahukan genre rock namun tidak berkesempatan dinyanyikan sewaktu aktif menyanyi.
“Saya sentiasa sukakan genre rock. Tetapi lagu sebegitu tidak sesuai dengan imej KRU.
“Sebenarnya selepas saya berhenti menyanyi, saya perasan yang kini saya sudah boleh menyanyi lagu yang bernada lebih tinggi.
“Saya sendiri tak tahu macam mana perkara ini boleh berlaku. Jadi saya minta Luca masukkan elemen itu dalam lagu saya,” ujarnya.
Apabila seseorang penyanyi mengambil risiko mencuba genre yang belum pernah dinyanyikan, penerimaan peminat kadangkala sukar diramal. Ada yang suka, boleh jadi juga sebaliknya.

LAMA ‘menenggelamkan’ diri dengan kerja-kerja belakang tabir dan keluarga, konsert GenKRU menjadi titik peralihan terbesar untuk Yusry kembali bersemangat di depan kamera, berlakon dan menyanyi.
Namun kata Yusry, dia tidak pernah gentar dengan perkara itu kerana setidak-tidaknya dia sudah mencuba.
“Inilah risiko sebagai seorang artis. Seiring peredaran masa, kadangkala kita perlu adaptasi dengan perubahan.
Saya tak boleh terus menerus menyanyi lagu Awas atau Mengerti. Terutamanya apabila saya bergerak sebagai penyanyi solo. Bunyi saya tak boleh sama macam dalam kumpulan.
“Jika peminat terima syukur alhamdulillah, jika sebaliknya setidak-tidaknya saya sudah mencuba,” katanya.
Kerjaya lakonan dan nyanyian dilihat kembali rancak dan bergerak seiring, ditanya adakah dia sudah bersedia untuk kembali menjadi ‘superstar’ pada usia 50-an, kata Yusry apa yang berlaku dalam kerjayanya kini bukanlah sesuatu yang dirancang.
“Sejujurnya bukan niat saya untuk kembali jadi ‘superstar’ atau mahukan kemasyhuran. Semua yang berlaku pada saya sekarang ini bukanlah dirancang.
“Lagi pun saya seorang yang simple. Saya seorang yang introvert, pendiam dan agak pemalu. Bila kembali sebagai artis solo, saya rasa takut sebenarnya. Selama ini ada lagi dua orang di sisi saya.
“Sekarang saya seorang diri. Jadi ada sedikit tekanan. Saya juga perlu adaptasi dengan cara peminat zaman sekarang,” ujarnya.
