MIERUL Aiman, namanya mula meniti di bibir ramai selepas drama Project: High Council mencipta fenomena luar biasa sekitar tahun 2023.
Meski pada awal kemunculan dalam industri bermula sepi selepas menjuarai Hero Remaja 2021, kini kerjaya seninya berubah 180 darjah sehingga digelar sebagai pelapis dalam dunia perfileman tanah air.
Bakat lakonan yang dimiliki tidak perlu disangkal dan terbaharu, dia muncul sebagai teraju utama dalam filem aksi, Tarung Unforgiven arahan Razaisyam Rashid.
Lebih membanggakan, Aedy Ashraf selaku penerbit filem tersebut pernah memberitahu watak Hatta memang dicipta khas buat Mierul.
Terharu, pemilik nama penuh Mohammad Amirul Aiman Norazman itu menganggap perkara tersebut sebagai satu penghargaan buat dirinya yang masih lagi merangkak membina nama dalam dunia perfileman.
“Sebenarnya saya tidak tertekan sebaliknya rasa lebih gembira dan selamat sebab penulis skrip beritahu watak Hatta itu memang untuk saya.
“Jadi, itu merupakan peluang saya beri ekstra usaha untuk merealisasikan karakter tersebut sehabis baik.
“Seperti yang kalian lihat, itulah Hatta yang saya mampu hidangkan kepada penonton untuk Tarung,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Sama seperti filem aksi lain, pasti ada beberapa babak yang memakan masa berhari-hari untuk dilangsaikan, begitu juga dilalui Mierul.
“Kalau tanya paling mencabar, pastilah babak terakhir. Kami habiskan 36 jam untuk mendapatkan babak pertarungan akhir selama lapan minit.
“Bagi mendapatkan hasil yang sempurna, kestabilan emosi dan aksi adalah paling penting ketika itu.
“Jadi, bila dah berlawan selama 36 jam, memang tiada masa nak layan cedera atau benda lain,” katanya lagi.

MIERUL membuat persiapan memiliki badan ‘fit’ dua bulan sebelum penggambaran bermula.
Bercerita tentang kecederaan, pelakon berusia 28 tahun itu tetap komited meneruskan babak aksi walaupun bahagian sendi bahu terkeluar sewaktu menjalani penggambaran filem tersebut.
Sebenarnya, saya sudah alami kecederaan bahu sejak di sekolah menengah ketika aktif dalam sukan ragbi. Jika ada yang perasan, saya ada tiga parut di bahagian bahu.
“Walaupun sudah menjalani pembedahan sebelum ini, memang akan tetap terkeluar juga terutama bila melakukan babak aksi.
“Namun, itu bukan penghalang tambahan pula saya memang akan pastikan badan mempunyai ketahanan yang tinggi terutama untuk filem ini,” katanya lagi.
Mierul berkata, dia enggan menjadikan kecederaan sebagai isu besar apatah lagi menghalangnya untuk memberikan aksi terbaik dalam Tarung.
“Saya anggap kecederaan ini hanya isu kecil sahaja dan memang kena hadap saja sebarang risiko sebab saya yang bersetuju untuk terlibat.
“Tak patut kalau saya angkat hal bahu terkeluar ini sebagai isu besar,” jelasnya.
Dilanyak
Berkongsi tentang persiapan termasuk memiliki tubuh badan yang ‘fit’ untuk setiap babak aksi pertarungan, dia berkata, semua itu dilakukan dalam tempoh dua bulan sebelum penggambaran bermula.
Persiapan tersebut juga termasuk perlu mempelajari seni pertahanan diri iaitu silat.
“Dua minggu berlatih sendiri kemudian bersama pasukan yang telah disediakan pihak produksi iaitu Defenders.
Tiada lagi istilah patah balik bila latihan sudah dilakukan bersama Defenders. Saya kena lanyak, harus bersedia menjadi ‘fighter’ dan perlu memahami teori serta koreografi silat.
“Memang perit bila fizikal diperah, namun itu mengajar untuk jadi keras dan kebal hadap saja rasa sakit.
“Kena biasakan diri dengan rasa sakit itu tambahan setiap hentakan yang kalian lihat memang betul terjadi walaupun dilakukan mengikut teknik,” kongsinya lagi.
Berkongsi layar dengan dua idolanya iaitu Bront Palarae dan Zul Ariffin, dia melihat perkara tersebut sebagai peluang yang sukar untuk dimiliki.
“Sepanjang tempoh penggambaran, saya selalu curi masa untuk bertanya banyak soalan tentang industri dengan mereka.
“Saya tak anggap mereka sebagai pelakon lagi tapi pemimpin industri.
“Pengalaman dan skil mereka sangat bagus selain mengajar memiliki identiti untuk berkembang di dalam industri ini,” katanya menutup temu bual.
Tarung Unforgiven terbitan Alpha47 yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei lalu turut dibintangi Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah dan Ubai Amir.
