KES permohonan perceraian penyanyi Zehra Zamri dan suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, di sini, yang sepatutnya terlerai hari ini ditangguhkan ke 14 Julai depan.
Peguam mewakili Zehra, Abd. Muiz Samsuri berkata, pihak defendan, Nur Mohd. Iqwan juga tidak membawa wakilnya untuk Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan kes ini (cerai) terpaksa ditangguhkan.
“Jadi, Nur Mohd. Iqwan diminta membawa wakilnya ke mahkamah ini pada minggu depan iaitu 14 Mei dan seterusnya kes akan diperdengarkan semula pada 14 Julai 2025 untuk laporan JKP.
Hanya selepas ini ada proses JKP kerana dimaklumkan defendan (Nur Mohd. Iqwan) mengenai ketidakhadiran wakilnya untuk datang hari ini kerana ada urusan kecemasan,” katanya kepada HibGlam.
Terdahulu, Zehra yang hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, pagi ini dengan ditemani bapanya, Zambri Ahmad sebagai wakil JKP.
Sebelum ini, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya, Nur Muhd Iqwan selepas mendakwa lebih tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga mereka.
Nur Mohd. Iqwan juga pernah berkongsi lima tuntutan permohonan perceraian yang difailkan oleh Zehra pada 7 Mac lalu terhadapnya.
Antara tuntutan tiada lagi persefahaman antara mereka, culas menjalankan tanggungjawab, sikap, pengabaian serta institusi perkahwinan sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM