BUKAN sahaja Faizal Hussein, aktor Fattah Amin turut terkena tempias populariti drama terbitan Viu, Bidaah yang kini meledak sehingga ke Indonesia.
Menurut Fattah, 35, dia terharu apabila ramai netizen negera jiran berkampung dalam akaun media sosialnya termasuk TikTok mengakui sangat meminati drama arahan Fazli Yahya itu.
“Saya pun terkena tempias juga sebab watak Hambali antara watak utama dalam Bidaah.
Dalam TikTok khususnya, ramai peminat dari Indonesia nyatakan sokongan dan cakap suka dengan Bidaah.
“Ramai juga yang tanya dan minta sama ada drama ini ada musim kedua atau tidak. Saya pun tak tahu sebab hanya berlakon sahaja,” katanya kepada HibGlam pada sidang media filem Kulit Wayang, semalam.
Dalam masa sama, pemilik nama penuh Abdul Fattah Mohd Amin itu bersyukur malah tidak menyangka drama bersiri tempatan yang pada awalnya dihambat kontroversi dan dikecam ramai berjaya membolosi pasaran negara seberang.
Dia bahkan sempat memuji dan berbangga dapat bekerja bersama Faizal yang disifatkan sebagai individu yang sangat menyenangkan.
“Tapi Alhamdulillah sebab bukan senang cerita kita nak tembus Indonesia. Ini satu rezeki.
Ketika mula ditayangkan Mac lalu pun memang ada beberapa isu dan kami fikir akan jadi drama kontroversi sahaja. Sebenarnya kami pun tak sangka cerita ini akan viral dan diterima seperti sekarang.
“Watak Walid pula viral, Faizal memang terbaik, bekerja dengan dia sangat mudah,” ujarnya.
Terdahulu, Bidaah yang diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima meraih lebih 2.5 bilion tontonan menerusi platform digital dan media sosial sejak ditayangkan bermula 6 Mac lalu.
Naskhah tersebut menjadi drama paling popular bukan sahaja dalam Viu Malaysia tetapi di Indonesia selama lima minggu berturut-turut.
Kejayaan itu sekali gus mengatasi drama bersiri Korea popular.
Fenomena Bidaah semakin meledak apabila watak Walid, lakonan hebat Faizal turut mencetuskan pelbagai trend parodi dalam TikTok.
Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan. Walid dengan beraninya mengaku bahawa dirinya merupakan jelmaan Iman Mahdi kepada para pengikutnya. – HIBGLAM