‘Saya masih waras, tak masuk akal saya perangkap suami sendiri’

DITUDUH menjadi dalang di sebalik penahanan suami sendiri, isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi sekeras-kerasnya menyangkal tohmahan rata-rata pihak yang seolah-olah sengaja menuding jari menyalahkan dirinya.

Dia yang merupakan pengurus sebuah syarikat penerba­ngan berkata, adalah mustahil dia berbuat demikian, seolah-olah menjerat diri sendiri meman­dangkan turut bersama Along dan anak tirinya di dalam rumah ketika pemeriksaan polis pada 14 Di­sember tahun lalu.

“Masih ramai yang menu­ding jari, menyalahkan saya kerana kononnya saya mempunyai kaitan dengan kes membabitkan Along.

Saya isterinya dan tidak ma­suk akal saya berbuat demikian. Saya masih waras. Sepanjang suami berada dalam tahanan, saya juga ke sana sini cari bantuan.

“Apa pun semua perkara atau isu sudah pun saya serahkan kepada polis. Biarlah pihak berkuasa menguruskannya,” katanya ketika ditemui HibGlam.

Berhubung tuduhan bersekongkol dengan scammer yang didakwa ‘songlap’ dana sumba­ngan membantu kes suaminya, Afreena mengakui tidak pernah mengenali wanita terbabit sebelum ini.

Katanya, dia dihubungi individu bernama Ika menerusi mesej (DM) ketika bersiaran langsung di laman sosial.

Memang saya tak kenal pun dia. Dia yang hubungi saya tetapi saya tak serah terus duit yang mencecah RM100,000 sebalik­nya kami berjumpa beberapa kali ­selepas itu.

“Dalam keadaan buntu dan risaukan keadaan suami ‘di dalam’, ditambah kata-katanya yang meyakinkan selain disogokkan dengan pengakuan latar belakangnya, tentu sahaja sesiapa akan percaya janji diluahkan.

Saya pun macam dipukau sebab serahkan duit termasuk simpanan sendiri, sumbangan Siti Jamumall, duit ibu bapa saya serta derma kawan-kawan.

“Mujur bukan ‘sekali harung’ dan transaksi itu ada dalam pe­nyata kewangan bank saya sebagai bukti,” katanya.

Berharap namanya bersih dari sebarang tuduhan, ibu kepada tiga anak itu hanya mampu memohon doa agar segala-gala­nya kembali seperti sediakala.

Terdahulu, Afreena didakwa suaminya melakukan penyelewengan wang dana bagi menjamin dirinya yang ketika itu berada dalam tahanan reman dan didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis kanabis dan mema­sukkan dadah ke dalam badannya pada hari yang sama.

Mengikut pertuduhan pertama, Along didakwa miliki bahan berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram pada 14 Disember tahun lepas.

Pertuduhan kedua, pelawak itu didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis tetra hydrocannibol (THC). – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok