Bapa mentua minta Along berdepan, jadi lelaki sejati

Pelawak dan pelakon Along Cham perlu menjadi lelaki sejati dengan berani menyelesaikan sebarang isu dalam mengenai rumah tangganya secara bersemuka.

Bapa mentuanya, Suhaimi Shahruddin, 64, berkata, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad sepatutnya duduk semeja bersama isterinya, Afreena, sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, melihat keadaan anaknya ketika rumah tangganya bergolak dengan pelbagai dugaan merupakan saat yang sangat menghancurkan perasaannya.

“Along patut menjadi lelaki sejati. Saya difahamkan sepanjang enam minggu dalam tahanan Afreena hanya sekali sahaja dapat berjumpa, kalau Nizamuddin (Along) dan Afreena bolehlah berbincang.

“Sebagai orang tua kami tak mahu masuk campur hal peribadi anak-anak apatah lagi tengok rumah tangga mereka nampak bahagia, hari selepas Nizamuddin dilepaskan baru saya tahu hal taklik itu,” kata pesara sebuah agensi badan berkanun itu eksklusif kepada HibGlam.

Menurut Suhaimi, anaknya mempunyai perangai yang tidak suka bercerita masalah sehinggalah apa yang berlaku baru-baru ini.

Bapa kepada lima anak yang sebelum ini bertugas di beberapa negara termasuk Jerman, Austria, Jepun dan China, memberitahu, Afreena merupakan anak, isteri dan ibu yang ceria sebelum berubah sikap gara-gara kemelut yang berlaku.

“Dia kerap menangis, namun pada masa sama sibuk mencari bantuan untuk suaminya.

“Sepanjang lebih sebulan makan minum pun tak menentu. Kami risau kerana pekerjaannya turut terjejas, bahkan terpaksa membatalkan beberapa tugasan di luar negara,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok