Adam Corrie dianak tiri kerana status mualaf

LEBIH sedekad memeluk Islam, banyak ujian yang perlu ditempuhi pelakon Adam Corrie untuk bergelar seorang hamba beriman di sisi Tuhan.

Dalam tempoh tersebut, Adam perlahan-lahan memujuk hati dan sentiasa bersangka baik terhadap Allah bahawa semua dugaan akan menjadikannya hamba yang lebih baik.

Sebagai manusia, adakalanya perasaan marah dan geram menjentik emosi apabila statusnya sebagai mualaf seolah-olah menjadikan dirinya ‘anak tiri’ dalam industri seni tanah air.

Paling mengecewakan, sejak bergelar mualaf sehingga hari ini, tawaran lakonan yang diterima begitu hambar dan seperti ada limitasi.

BERSUARA tentang isu kurang tawaran dan bayaran rendah untuk pelakon mualaf, Adam berasakan dirinya mungkin dilihat jahat sesetengah pihak.

Watak paling sinonim yang berulang-ulang kali dihulurkan kepadanya adalah lelaki mualaf dan gengster.

“Watak untuk mualaf dalam mana-mana karya tempatan sangat terhad, tawaran berlakon pun kurang. Saya sendiri tak tahu di mana silapnya.

“Memang marah setiap kali nak cerita tentang kerjaya seni sebagai seorang mualaf. Setiap hari mengadu kepada Allah.

“Bukan tak ramai tetapi tiada yang bersuara. Sekarang saya yang bersuara dan nampak jahat tetapi semua itu hanya pandangan manusia dan lantaklah orang nak pandang macam mana,” katanya kepada HibGlam dalam satu pertemuan eksklusif, baru-baru ini.

Ditanya mengapa dan bagaimana situasi sebegitu masih berlaku, Adam, 56, hanya mahukan penjelasan daripada pihak yang mengeluarkan garis panduan mengenai pelakon berstatus mualaf.

“Jangan tanya saya kenapa sangat kurang watak untuk orang Cina yang peluk Islam dalam mana-mana naskhah tetapi soal siapa yang keluarkan ‘undang-undang’ tersebut.

“Adakah kalau pegang colok dalam lakonan, agama saya terus bertukar?

“Hanya pegang, bukannya sembah. Kalau saya pegang tepi kubur sekali pun, itu hanya lakonan.

“Kalau babak ada daging babi atas meja, saya bukan buat apa pun sebab itu hanya prop.

“Jangan sangka buruk dan husnuzon (bersangka baik) saja.

“Sebab itu, kita perlu bertanya dan jangan jatuhkan hukum sesuka hati,” jelasnya.

SINONIM watak gengster, Adam Corrie cuma terkilan apabila bakat dan pengalamannya hanya diukur dengan nilai RM300 untuk satu episod.

Selain watak, bayaran yang ditawarkan kepadanya dan beberapa pelakon mualaf lain juga dikatakan tidak masuk akal.

Paling tidak boleh diterima akal, Adam sukar menolak rasa terkilan apabila hanya ditawarkan RM300 untuk satu episod.

“Ada kawan pelakon mualaf lain pun mengadu kepada saya isu sama dan harga yang diberikan kepada mereka lebih jahanam tetapi tak boleh buat apa, terpaksa akur untuk teruskan hidup.

“Selama ini saya tak pernah kongsi pun. Inilah ujian yang saya lalui sebagai seorang mualaf dalam industri seni tempatan.

“Konklusinya, memang tiada watak untuk mualaf. Jadi, adakah jawapan yang tepat ialah jangan masuk Islam dan jangan jadi mualaf?

“Sepatutnya kita tunjuk benda yang positif tentang Islam kepada orang di luar tetapi lain pula berlaku,” ujarnya panjang lebar.

Jelasnya, sudah lama ingin berkongsi rasa tidak puas hati tersebut dan bersedia dilabel lantang atau ‘lapar’ perhatian.

“Kalau nak cakap dianaktirikan industri pun okey. Sudah lama saya lalui tetapi cuma tak mahu bising sebab selalu digelar mualaf nak perhatian dan simpati ramai.

“Saya sudah pendam lama tetapi kalau saya cakap banyak sekali pun, mungkin tiada apa perubahan yang akan berlaku,” kata bapa kepada seorang anak lelaki itu.

Bangsa Cina

Bercerita tentang Tahun Baharu Cina, Adam mengakui pelik kerana kerap dikecam kerana menyambut perayaan tersebut.

Mengingatkan khalayak, sedalam mana sekali pun tinggi cintanya terhadap Islam, Adam Corrie tetap orang Cina.

Atas dasar itu, dia menyeru segelintir pihak yang masih menghentamnya agar berfikiran lebih terbuka dan tahun membezakan antara agama dan budaya.

“Entah kenapa setiap kali makan menggunakan chopstick, memang akan ada yang kecam.

“Kenapa ada pihak yang serius sangat? Saya pasang tanglung merah di rumah sempena Tahun Baru Cina pun dikatakan salah di sisi agama dan dipertikai.

“Boleh tak mentaliti kita buka luas sikit, tinggal dalam negara yang berkonsep satu Malaysia tetapi pemikiran kolot sebegitu masih wujud,” ujarnya lagi.

Berkongsi tentang sambutan Tahun Baharu Cina, tahun ini Adam pulang ke Taiping, Perak menyantuni ibu yang sudah tua.

“Tahun ini saya balik Taiping. Mak saya tinggal seorang diri. Sudah kurang meriah sejak mendiang bapa saya meninggal dunia sekitar 2010.

“Sudah kurang meriah cuma teman emak, bawa pergi makan besar di restoran dan terima ‘angpau’,” jelasnya yang mempunyai 10 orang adik-beradik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok