‘Anak terseksa, sanggup buat apa sahaja demi kebahagiaan mereka’

SAYANG sampai mati, penyanyi Hafiz Suip berjanji tidak akan mengabaikan anak-anak meskipun rumah tangga yang dibina bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah, kini di ambang perceraian.

Hafiz atau nama sebenarnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, mengakui keputusan besar itu bakal memberi impak terhadap kehidupan anak-anaknya, namun berharap mereka dapat memahami situasi berkenaan suatu hari nanti.

“Tidak dinafikan anak-anak akan terseksa dengan perceraian ini. Saya beritahu mereka kerana lambat laun akan tahu juga.

“Saya doakan yang terbaik buat mereka. Saya mahu mereka tahu apa pun terjadi saya tetap bapa mereka.

“Saya sangat sayangkan anak-anak. Jika sesuatu berlaku, saya sanggup lakukan apa sahaja demi memastikan kebahagiaan mereka,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada program Mega Live AJL39 di sini, malam tadi.

Pelantun lagu Awan Nano itu juga mendedahkan bahawa dia masih bergelar suami kepada Nureffy, namun mereka tidak lagi tinggal sebumbung.

“Saya masih lagi suami orang cuma kami sudah tidak duduk sebumbung kerana dalam proses penceraian.

“Ini adalah ujian saya, kena terima dengan hati terbuka. Saya tahu ia akan berat tetapi saya belajar untuk bersyukur walaupun dilanda ujian,” kongsinya.

Sebelum ini, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) itu mengesahkan hubungan rumah tangganya bersama Nureffy tidak dapat diselamatkan lagi menerusi temu bual bersama program hiburan Melodi.

Untuk rekod, Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok