SEMPENA Ramadan, jenama mewah antarabangsa Jimmy Choo mengambil inisiatif tampil dengan koleksi kapsul sepatu dan tas glamor.
Antara yang menarik perhatian adalah koleksi tas tangan mesh metalik, kristal dan kulit cetakan ular dalam warna champagne, merah jambu serta hijau pekat.
Rekaannya yang elegan sesuai digayakan bila-bila masa termasuk sambutan Aidilfitri.

SEPATU dan tas tangan rona champange membangkit aura glamor dan elegan si pemakai.
Menurut Pembantu Pengurus Komunikasi Jimmy Choo, Renee Yip, koleksi yang ditampilkan pada Ramadan ini bersifat elegan dan terletak kepada pemakai.
“Kesemua rekaan bersifat tidak lapuk dek zaman. Sesuai digayakan pada bila-bila masa dan dalam pelbagai acara.
“Perincian seperti kristal, kulit cetakan ular dan mesh metalik secara tidak langsung memberi elemen glamor pada pemakai meskipun mereka mengayakan pakaian yang ringkas,” katanya ketika ditemui pada acara tertutup bersama pelanggan di butik Jimmy Choo di TRX Exchange, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perincian batu kristal dan ala berlian sepatu Saeda membuatkan rekaan ini tampak eksklusif dan mewah.
Selain tas tangan, sepatu termasuk jenis Saeda juga menarik perhatian. Tidak sekadar sepatu kerana kelihatan cukup mewah apabila terdapat batu kristal di bahagian muncung kasut dan kerlipan ala batu berlian mencengkam di sekeliling pergelangan kaki.
Sudah pasti pemakainya akan berjalan dengan penuh gaya dan keyakinan.
Hal ini kerana Jimmy Choo bukan sekadar jenama fesyen tetapi gaya hidup melambangkan status pemakainya.
Jika tidak, masakan sepatu Jimmy Choo menjadi kegilaan dalam kalangan selebriti Hollywood. – HIBLGAM