PETALING JAYA – Tidak sanggup melihat ramai kanak-kanak terkorban, pelakon Mira Filzah menyifatkan kezaliman rejim Zionis mengebom sebuah hospital di Gaza, Palestin sebagai tidak berperikemanusiaan.
Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman, 30, berkata, perbuatan kejam yang dilakukan Israel laknatullah ketika ini membuatkan hatinya turut terkesan tatkala melihat lambakan video dan foto menyayat hati dalam media sosial.
“Setiap masa ada sahaja video kanak kanak, bayi, yang cedera parah, yang menangis, Allahuakbar. Tidak sampai hati nak tengok.
“Perbuatan Israel mengebom hospital, itu bukan perbuatan manusia tapi syaitan. Jijik sangat dengan tindakan mereka,” katanya dalam Instagram semalam.
Dramatis yang popular menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan itu mengakui, sering tertanya-tanya kepada diri sendiri, apakah bentuk bantuan lain untuk dihulurkan, selain doa dan derma bagi mengurangkan kesengsaraan yang dilalui penduduk Gaza.
“Sakit hati dan sakit kepala memikirkan kehidupan mereka disana. Setiap kali nampak video dan gambar gambar mereka di sana, setiap kali itu juga mulut ni terkumat-kamit. Astaghfirullah hal ‘azim.
“Rasa tidak berdaya dan nak peluk anak-anak ini. Ya Allah, apa aku boleh buat? Cukup ke duit yang aku derma, sampai ke, Allah bagi kita rezeki banyak ini dan patut ke beri lebih lagi?” soal Mira.
Yakin dengan takdir Tuhan, ibu anak satu itu percaya setiap doa yang dititipkan buat penduduk Gaza mampu membawa kepada keajaiban sekaligus mengakhiri perang yang berlaku ketika ini.
“Kita hanya mampu berdoa dan tolong dari jauh. Doa semoga semua ini segera berakhir dan tiada lagi kanak-kanak yang kematian ibu bapa.
“Janji Allah itu pasti. Syurga untuk mereka di Palestin, mati syahid dan anak kecil dibunuh itu pasti.
“Syurga juga untuk mereka yang melindungi dan mempertahan Masjid al-Aqsa. Sedangkan kita? Lindungilah mereka ya-Allah,” katanya lagi.
Semalam, dunia dikejutkan dengan berita tragis apabila sebuah hospital di Gaza, Al-Ahli Baptist dibom oleh Israel sehingga mengorbankan lebih 600 nyawa termasuk kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE
Kekejaman itu mengundang rasa marah dan ramai yang menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai. – HIBGLAM