BERLAPANG dada meski hak penjagaan penuh Muhammad Dan Aurora berpihak kepada bekas isterinya, Diana Danielle seperti mana ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini, Farid Kamil mendoakan keselamatan dua cahaya matanya itu.
Farid ketika ditemui media tenang menzahirkan rasa syukur dengan apa jua takdir yang tertulis buatnya dan menyerahkan sepenuhnya jagaan anak-anak kepada Diana.
“Saya serahkan hak penjagaan penuh kepada Diana melalui perjanjian secara global (menyeluruh).
Buat masa sekarang, hanya doa Fi Amanillah (di bawah lindungan Allah) untuk anak-anak dan berharap mereka akan selamat serta bahagia.
“Saya rasa lega dan bersyukur dengan takdir Allah SWT yang menentukan perjalanan hidup saya,” katanya kepada HibGlam selepas prosiding tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Bintang filem Anwar: The Untold Story itu turut memaklumkan kali terakhir dia bertemu dua anaknya ialah sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.
Sebelum raya haji saya jumpa anak. Saya sudah maklumkan kepada Muhammad tentang perkara ini dan harap dia faham mengenai situasi ketika ini.
“Apa yang lebih utama kesihatan mental dan kesihatan mereka buat masa ini,” jelasnya yang hadir ditemani adiknya, Fadzil Zahari.
Dia juga mengakui rasa rindu terhadap anak-anak semakin menebal selepas hampir dua bulan tidak bertemu.
“Sudah tentu rindu (anak-anak) walaupun jalan kami (bekas isteri) sudah berbeza.
Saya selalu buat panggilan video dan dapat berhubung dengan Muhammad dan Aurora melalui WhatsApp,” katanya lagi.
Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan hak penjagaan penuh dua anak pasangan selebriti ini menjadi milik Diana.
Bagaimanapun, Farid masih diberikan hak lawatan anak mengikut perjanjian secara global yang sudah dipersetujui kedua belah pihak.
Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.
Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof menerusi aplikasi Google Meet memandangkan dia mengalami masalah kesihatan kesan jangkitan Covid-19.
Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mahkamah sama.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. – HIBGLAM