MENDEDAHKAN diri berdepan masalah mental, pelakon, Mawar Rashid tidak pernah berniat menggunakan isu tersebut untuk meraih perhatian dan simpati warganet.
Jelasnya, dia tidak pernah menggunakan isu tersebut demi kepentingan peribadi malah sentiasa berusaha untuk mencari rawatan dengan bertemu pakar psikiatri selain bergantung kepada sistem sokongan yang ada di sekelilingnya.
“Saya bukan saja buat-buat cerita. Soal masalah mental ini, janganlah malu dapatkan rawatan. Jumpa pakar psikiatri. Kita tak boleh self diagnose dan cuba rawat sendiri.
“Saya sendiri pun tak tahu apa masalah yang dihadapi. Adakah saya ini bipolar, social anxiety atau depresi? Kena dapatkan nasihat pakar sebenarnya. Kena tahu akarnya.
“Tetapi untuk cakap saya sengaja cipta publisiti itu tidak wajar sama sekali. Ramai juga rakan artis yang turut berdepan masalah kesihatan mental. Sampai sekarang, saya masih dalam rawatan,” ujarnya.
Ditanya tentang keadaan terkini, kongsi Mawar, dia bersyukur kerana sentiasa ditemani suami dan anak-anak yang memahami masalah serta keadaan dirinya yang sukar dijelaskan.
“Mula-mula saya menjauhkan diri daripada semua orang. Rasa rimas, marah. Tetapi lama-lama, saya sedar, bila berhadapan masalah seperti ini, saya tak boleh hidup seorang diri.
“Saya bersyukur ada suami yang tahan dan sabar dengan kerenah. Anak-anak juga, walaupun masih kecil, mereka faham. Malah, keluarga dan rakan-rakan terdekat pun ada.
“Bila berteman, kadang-kadang kita tak akan terlalu memikirkan sesuatu. Bila saya semakin pulih, saya sedar hidup ini indah. Don’t take it for granted. Jangan rugikan masa kita,” ujarnya. – SUMBER UTUSAN MALAYSIA