Nafi rumah tangga bermasalah, Heliza Helmi cari tukang fitnah

Terkejut dan keliru, penyanyi dan aktivis kemanusiaan Datin Seri Heliza Helmi menafikan dakwaan kononnya rumah tangganya dengan suami, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman kini sedang bergolak.

Kata Heliza atau nama lengkapnya Nur Heliza Helmi, 38, hubungannya dengan suami berada dalam keadaan baik dan mereka masih bahagia bersama.

“Saya memang sangat terkejut apabila mengetahui tentang hal ini. Persoalan pertama ialah dari mana datangnya dakwaan ini.

“Kedua, individu yang menyebarkan berita ini, dia dengar dari mana dan siapa orang itu kerana sebelum saya menjawab persoalan sebegini, saya perlu tahu dari mana puncanya.

“Macam mana saya hendak jawab perkara sebegini kerana mungkin direka atau apa tujuannya. Tetapi, apa-apa pun alhamdulillah dia (suami) ada bersama dengan saya untuk program hari ini (Rabu),” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran filem pertama rumah produksi Karyaloka bertajuk Dasim Laknat di sini semalam.

Mengulas lanjut, pelakon filem Syurga Cinta itu turut menepis dakwaan rumah tangganya sedang berdepan dengan masalah hanya kerana kurang memuat naik gambar bersama dalam media sosial.

“Masyarakat sekarang ini ada banyak masa jadi mereka akan tolong fikir tentang hal masyarakat (orang) lain. Saya buat itu (tidak berkongsi gambar) bukan sebab tertentu atau sesiapa.

“Tetapi disebabkan diam itu lebih baik. Jadi apabila saya rujuk kepada guru (para ulamak), memang ada kebaikannya apabila berdiam. Saya yakin dan percaya anda semua suka melihat perkara yang baik.

“Saya rasa perkara ini (rumah tangga bermasalah) tidak wujud pun, dan saya harap kalian boleh doakan yang baik-baik untuk saya. Sejujurnya saya terkejut apabila isu sebegini timbul kerana pada saya, tiada apa pun yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, tiada angin, tiada ribut timbul dakwaan tentang hubungan Heliza dan Mahadi sedang dilanda badai.

Semuanya berpunca apabila Heliza dikatakan sudah tidak memuat naik gambar bersama suami dalam media sosial. Sebaliknya, Heliza lebih kerap berkongsi gambar dan video melakukan pelbagai aktiviti dengan adiknya, Hazwani Helmi.

Heliza dan Mahadi mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2022. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok