[VIDEO] Trauma ditipu, Riezman Khuzaimi syukur pelaku didakwa

PELAKON Riezman Khuzaimi yang juga penganjur Konsert Goyang Asli Koplo Milenia hari ini meluahkan rasa lega apabila individu yang didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM237,370 untuk menguruskan acara itu akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Riezman ketika ditemui berkata, selepas insiden itu dia mengalami trauma kerana mengalami kerugian teruk untuk menganjurkan konsert itu tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebab dengan bantuan mereka, pesalah ini telah pun berjaya ditahan selepas kami menyerahkan beberapa bukti.

Saya berasa sedikit lega kerana perkara ini akhirnya di bawa ke muka pengadilan selepas hampir setahun kes ini berjalan. Saya dan pasukan ditipu sehingga menjadi trauma sebab ini adalah pembabitan pertama jadi penganjur konsert.

“Kalau dihitung jumlah kerugian yang terpaksa kami tanggung, mencecah RM1 juta ,” katanya.

Terdahulu seorang wanita yang merupakan perunding pengurusan acara didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyalahguna wang berjumlah lebih RM200,000 berhubung penganjuran konsert itu tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Rabiatul Adawiyah Izzaddin, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Rabiatul Adawiyah didakwa telah mengambil wang milik Syarikat Mission Sight Sdn. Bhd. berjumlah RM237,370. bagi menguruskan Konsert Goyang Asli Konsert Goyang Asli Asia-Koplo Milenia.

Namun tertuduh gagal berbuat demikian serta menggunakan wang tersebut bagi kegunaan sendiri yang mana tertuduh tahu wang tersebut bukan miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang Equestrian, Bukit Kiara antara 7 Mac hingga 15 Mac 2023.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok