Trauma kemalangan punca Mark Adam tiada lesen memandu

Penyanyi dan pelakon, Mark Adam mengakui tidak mempunyai lesen memandu selepas terbabit dengan kemalangan motosikal pada usia 18 tahun.

Mark atau nama sebenarnya Marcus Adam Macaraig Echivarre,45, berkata, sejak kejadian tersebut dia tidak berani menunggang motosikal mahupun memandu kereta disebabkan masih trauma.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu, saya trauma dan tidak berani untuk memandu kereta kerana pernah terlibat dengan kemalangan motosikal.

“Suatu malam, saya yang membawa motosikal bapa saudara saya bersama seorang kawan yang membonceng. Ketika itu, saya membawa dengan had kelajuan melampau.

“Kemudian, kami terlibat dengan kemalangan sehingga mengakibatkan kawan saya patah tangan dan kakinya. ,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri Global Stesen di Kemensah Height, Ampang, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai peristiwa menakutkan itu, Mark mengambil keputusan untuk tidak memegang stereng kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Jika saya memandu kereta, saya akan berfikiran negatif bahawa orang yang saya bawa akan menghadapi kematian.

“Ada suatu ketika, saya cuba bawa motosikal di Batu Caves, tetapi pandangan saya terus kabur. Apabila saya sedar, saya sudah melanggar kereta sebelah tanpa sengaja.

“Ketika penggambaran, saya juga menolak babak memandu kerana tidak berani mengambil risiko, walaupun jarak 50 kilometer (km) atau 100 kilometer km sekalipun,” ujarnya.

Tambah pelantun lagu Pencuri itu juga lebih selesa apabila isteri menjadi pemandu untuk menemaninya semasa ke lokasi penggambaran atau tempat lain.

Isteri saya seorang pemandu yang sangat bagus dan terbaik. Dia tidak pernah telibat dengan kemalangan cuma ada sekali sahaja, itu pun sedikit.

“Saya juga mahu isteri sentiasa di samping saya walau di mana saya berada kerana hidup ini singkat. Kita akan menyesal jika tidak banyak meluangkan masa dengan keluarga.

“Jika saya bekerja sehingga pagi, fikiran saya akan memikirkan tentang isteri, jadi lebih baik isteri saya menemani saya di lokasi penggambaran,” kongsinya.

Mark mendirikan rumah tangga dengan Ezan, 42, yang juga pengurus kerjaya seninya sejak 2003.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok