Beri jawapan mengelirukan, Ustaz Don mohon maaf

PENDAKWAH bebas Ustaz Don Daniyal mengakui kekhilafan dalam memberi jawapan yang mengelirukan kepada pendengar di sebuah stesen radio.

Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan insiden tentang pertanyaan pendengar mengenai berpuasa pada hari raya.

“Assalamualaikum dan saya minta maaf kepada semua. Maaf kerana memberikan jawapan yang mengelirukan. Saya minta maaf banyak-banyak. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua. Minta maaf semua.

“Jawapan yang betul, tidak boleh berpuasa pada hari raya Aidiladha yang pertama dan hari Tasyrik termasuk pada hari raya kedua, ketiga dan keempat iaitu pada 11, 12 dan 13,” katanya.

Tindakan permohonan maaf itu dibuat selepas rakaman audio Don dalam memberikan jawapan terbabit tular sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Tambahnya lagi, penjelasan di stesen radio itu dibuat secara ringkas bagi memudahkan pendengar untuk memahami.

“Soalan itu ditanya oleh pendengar, ketika ingin merakam, kami ada bertanya adakah ini untuk hari raya Aidiladha pertama sahaja. Selepas bertanya jadi kami beri jawapan yang mudah.

“Hari raya Aidiladha pertama sama juga dengan hari raya Aidilfitri pertama tidak boleh berpuasa. Tetapi, hari raya Aidiladha ada perbezaan iaitu hari tasyrik iaitu pada hari 11, 12 dan 13.

“Huraian mengenai itu panjang, tetapi waktu itu hanya ingin beri pendengar faham. Masa itu saya cakap, hari raya pertama saja tidak berpuasa. Saya minta maaf kerana sudah memberikan jawapan yang mengelirukan,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu hantaran turut memaklumkan adalah haram berpuasa pada hari Tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 18,19 dan 20 Jun 2024.

Terdahulu Ustaz Don direhatkan daripada program Salam Baitullah terbitan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana terkait kontroversi menyebarkan hadis serta cerita berkenaan cinta pertama Nabi Muhammad S.A.W dengan Ummu Hani’ yang dianggap lemah dan tidak bersumber. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok