5 bintang Kimchi pencinta kucing

MEMELIHARA kucing merupakan antara cara meredakan stres dan pengubat rasa sunyi. Manakan tidak, melihat gelagat si comel itu membuatkan hidup seakan terisi.

Di Malaysia, ramai artis tempatan memelihara haiwan kesayangan Nabi Muhammad itu.

Di Korea juga sama apabila ada idola K-Pop memilih memelihara haiwan manja itu selain anjing.

Daebak kali ini menyenaraikan lima artis Korea berjiwa penyayang yang memiliki kucing sebagai haiwan peliharaan mereka.

Park Shin-hye

AKTRES jelita Park Shin-hye juga terkenal dalam kalangan pencinta kucing.

Hal ini kerana, dia sering memuat naik aktiviti harian bersama kucing sekiranya ada masa terluang.

Apabila sibuk dengan penggambaran atau kerja luar, dia meluahkan rasa rindu terhadap kucing peliharaannya, Hyeri.

Dia mula memelihara kucing berwarna kelabu dan putih itu pada 2017 sehingga kini.

Bukan hanya kucing, Shin-hye turut memiliki beberapa ekor anjing sekali gus menunjukkan betapa penyayangnya aktres itu.

Jimin

Siapa sangka anggota kumpulan BTS iaitu Jimin juga pencinta kucing.

Meski alah dengan bulu kucing, Jimin sangat menyukai haiwan manja itu.

Walau pelantun lagu Like Crazy itu tidak memelihara kucing, dia sering berkongsi gambar haiwan comel berkenaan dalam Instagramnya.

Jimin juga merupakan satu-satunya ahli BTS yang tidak mempunyai haiwan peliharaan dan tidak merancang memilikinya kerana faktor kesihatan.

Kang Daniel

BUKAN sahaja jaguh masak, penyanyi Kang Daniel turut meraih perhatian ramai kerana sikap penyayang terhadap empat ekor kucing peliharaannya.

Kegilaan terhadap haiwan comel itu diwarisi daripada ibunya yang juga pencinta kucing.

Pemilik nama sebenar Kang Eui-geon itu turut berkongsi hasrat ingin menambah bilangan kucing selepas memiliki empat ‘kawan baik’ bernama Rooney, Peter, Ori, dan Zhang-ah.

Lisa

PENYANYI Lisa mencuri perhatian ramai peminat kucing selepas memuat naik gambar haiwan peliharaannya dalam media sosial.

Bukan seekor tetapi pelantun lagu Money itu mempunyai lima kucing berbeza spesis.

Menariknya, semua kucing itu dinamakan dengan pangkal huruf L iaitu Leo, Luca, Lily, Louis dan Lego.

Setiap kucing anggota Blackpink itu memiliki akaun media sosial yang diselia Lisa sendiri.

Lee Sung-kyung

PELAKON drama popular Weightlifting Fairy Kim Bok-joo, Lee Sun-kyung boleh dikategorikan sebagai penggila kucing.

Tidak sekadar memiliki dua ekor kucing di rumah, Sun-kyung juga sering bermanja dengan kucing jalanan yang dijumpai.

Pelakon berusia 34 tahun itu selalu memberi makan dan mengambil gambar kucing yang ditemuinya. Sikap prihatinnya cukup disenangi peminat.

Dia memiliki dua kucing jenis Russian Blue yang diberi nama Ttu Ttu dan Ppoi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok