4 ‘pisau cukur’ popular Korea Selatan

SELAIN suka menyondol suami orang, sikap materialistik juga sememangnya antara perangai yang tidak boleh diajak berkompromi semua anggota masyarakat.

Atas alasan tersebut juga, golongan artis paling tidak boleh dimaafkan apabila dilihat ada menjalinkan hubungan dengan pasangan kaya raya. Hubungan mereka mudah dianggap hanya bersandarkan kemewahan, bukannya cinta sejati yang lahir dari hati.

Terjebak cinta atas dasar materialistik juga membuka pintu kecaman untuk para selebriti terbabit digelar kaki kikis atau manusia tidak tahu malu.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea yang dituduh suka mengikis harta benda pasangan.

Lee Jung-jae

Khalayak maklum bahawa aktor Jung-jae pernah digosipkan menyulam asmara dengan ahli perniagaan Im Se-Ryung sejak 2010 lagi.

Enggan berdolak dalih, kedua-duanya mengesahkan hubungan cinta mereka pada tahun 2015.

Begitu pun, aktor berusia 51 tahun itu dilabel pelahap harta orang dan didakwa sengaja menjalinkan hubungan dengan Se-ryung kerana wanita terbabit berasal daripada keluarga konglomerat di Daesang.

Lebih teruk, netizen mendakwa Se-ryung rela memberikan duit kepada pelakon siri Squid Game itu sebagai modal membuka perniagaan.

Bukan itu sahaja, Jung-jae juga sering dilaporkan menerima wang dalam jumlah yang besar daripada Lee Hae-kyung  untuk membayar hutang.

Entah dakwaan tersebut benar atau tidak, namun sehingga ke hari ini semua gosip liar itu tidak pernah terbukti kebenarannya malah aktor itu juga tidak mengiyakan mahupun menidakkan segala tuduhan terhadap dirinya.

Kahi

Kahi juga tidak terlepas daripada senarai kaki kikis Kimchi Panas minggu ini. Wanita berusia 41 tahun itu didakwa pemburu ahli perniagaan berstatus jutawan.

Dakwaan itu semakin kuat apabila penyanyi jelita itu menamatkan zaman bujangnya dan berkahwin dengan Pengarah Urusan Incase Korea, Yang Jun-mu yang merupakan antara individu terkaya di Korea.

Tidak berdiam diri, Kahi tampil menepis segala dakwaan dan bertegas, dia bukanlah orang yang hanya memandang kekayaan atau kemewahan dalam memilih pasangan.

Tambahnya, suaminya adalah seorang lelaki yang sangat bekerja keras dan sederhana selain memulakan perniagaanya dari bawah, bukannya disuap intan berlian dengan sudu emas daripada keluarga.

Lucas

Pada 2021, nama Lucas meledak dalam media sosial apabila berdepan tuduhan seorang netizen dari China yang mendakwa penyanyi itu  mengambil kesempatan atas kekayaan pasangannya.

Meskipun identiti wanita bukan selebriti itu tidak pernah didedahkan terdapat bukti mendakwa Lucas suka berlaku curang dan hanya menginginkan harta wanita berstatus jutawan itu sewaktu mereka sedang menjalin cinta.

Dengan bukti kukuh dan sahih, agensi Lucas, SM Entertainment memilih untuk menghentikan segala aktiviti seni Lucas.

Lelaki itu diminta untuk bertenang dan mengambil iktibar atas tindakan tidak bermoralnya selama ini.

Menyedari segala kesilapan, Lucas tampil membuat permohonan maaf menerusi Instagram miliknya dan mengakui sangat menyesali perbuatan tidak beretikanya terhadap mana-mana wanita yang pernah dimanipulasikan demi wang.

Jung Ryeo-won

Pada 2021, pelakon Jung Ryeo-won didakwa menjalin hubungan dengan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Kim.

Aktres berusia 43 tahun itu juga dituduh bercinta semata-mata mahu mengaut kekayaan ahli perniagaan terbabit untuk membeli barang mewah.

Tiada angin tiada ribut, nama aktres terbabit meledak apabila kekasihnya itu ditangkap atas tuduhan kes penipuan, ugutan dan kekerasan pada April 2021.

Sepandai-pandai  tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, hasil penyiasatan mendapati Kim menghabiskan banyak wang untuk membeli barang-barang mewah yang dimahukan Ryeo-won.

Ibarat menegakkan benang yang basah, agensi pelakon itu membuat kenyataan bahawa artis jagaan mereka tidak pernah menerima sebarang dana daripada Kim ataupun terlibat dengan kes penipuan seperti didakwa.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok