‘Jangan putuskan hubungan Hamzah dengan keluarga arwah’

EMPAT tahun saya tak tengok dia (Hamzah), ini kali pertama saya jumpa.”

Demikian kata-kata meruntun jiwa pelawak Ali Puteh saat bertemu dengan anak saudaranya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang juga anak kepada Allahyarham Abam Bocey (abangnya) dan juga Hidayah, selepas empat tahun.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan tidak dapat menahan rasa sebak apabila akhirnya dapat memeluk dan mencium anak saudaranya itu bagi melepaskan rasa rindu.

Katanya, dia bersyukur dengan pertemuan tersebut apabila dapat berjumpa dengan Hamzah dan berharap agar hubungannya dengan kanak-kanak itu tidak akan terputus.

Syukur Ya Allah dengan ujian ini. Mak, abang, angah (panggilannya) dan selesai semuanya. Insya-Allah legasi syed, Sharifah kita tidak akan terputus,” kata Ali.

Dalam pertemuan itu, Ali, 35, turut meminta izin untuk memeluk dan mencium Hamzah kerana terlalu rindu selepas tidak berjumpa dengannya selama empat tahun.

“Meh (mari) dekat pak ngah. Ini duit belanja Hamzah. Nanti beli gula-gula ya. Boleh saya cium dia ya? Empat tahun saya tidak berjumpa.

“Jadi anak yang baik ya sayang,” katanya.

Dalam ruangan komen, rata-rata netizen turut berkongsi rasa sebak dan bersimpati melihat kesedihan yang ditanggung Ali saat dipertemukan dengan kanak-kanak berusia empat tahun itu.

Pada masa sama, netizen turut mengharapkan agar Hidayah atau Siti Nor Hidayah dapat membuang rasa ego dan tidak lagi memisahkan hubungan kekeluargaan antara anaknya dengan keluarga mentua.

“Harap Dayah buang ego. Setiap orang ada kelemahannya,” kata seorang netizen.

Ali dah rendahkan ego. Harap Dayah tak teruskan ego juga. Hamzah tetap darah daging Ali. Semoga selesai sengketa ini,” kata seorang lagi pengguna TikTok.

“Dayah tolong buang ego awak. Jangan putuskan hubungan Hamzah dengan keluarga arwah ayahnya,” saran seorang lagi netizen.

Semalam, Ali berkongsi video bertemu dengan Hidayah untuk melangsaikan hutang tuntutan saman berjumlah RM75,000 kepada kakak iparnya seperti yang diperintahkan mahkamah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok