PELAKON Zarina Zainoordin berdepan kejadian misteri apabila mikrofonnya tercampak secara tiba-tiba ketika merakamkan lagu Ulek Mayang untuk latar drama bersiri Gemersik Berbisik.
Katanya, walaupun enggan mempercayai perkara mistik, sedikit sebanyak pesanan supaya menjaga adab ketika membawakan lagu itu tetap dijadikan peringatan.
Dalam drama bersiri lapan episod ini, selain membawakan watak gadis desa bernama Ipong saya turut menyampaikan enam lagu bagi latar naskhah ini.
“Antara seleksi yang jadi pilihan adalah lagu rakyat Ulek Mayang dan ketika sesi tersebut ada sesuatu kejadian misteri berlaku iaitu mikrofon terpelanting tanpa sebab.
“Saya yang ketakutan membaca ayat suci dan meminta dijauhkan daripada sebarang sebelum meneruskan kerja rakaman,” katanya ketika ditemui selepas tayangan Gemersik Berbisik, baru-baru ini.
Menurut penyanyi yang digilap daripada program realiti Akademi Fantasia itu, pengalaman menyeramkan dilalui hanya dimaklumkan kepada pengarah Amor Rizan selepas tugas di studio tamat.
Saya enggan buat orang lain cuak, jadi saya diamkan saja sehingga semua kerja kami selesai. Alhamdulillah, proses rakaman berjalan lancar, begitu juga dengan penggambaran.
“Biarpun penggambaran di tengah kawasan Dengkil yang masih tebal dengan pokok besar dan hutan, sepanjang lebih sebulan di sana tiada apa-apa perkara pelik berlaku.
“Cuma ada lagi satu insiden pelik ketika latihan vokal di rumah sebelum saya masuk studio merakamkan Ulek Mayang, paip bilik air terbuka sedangkan tiada orang lain ketika itu,” ujarnya.
Pada masa sama, aktres berusia 40 tahun itu menganggap kepercayaan produksi NS Star yang memintanya menyampaikan lagu bagi drama itu sebagai satu amanah besar.
Akuinya, hampir sedekad memberi fokus terhadap arena lakonan membuatkannya perlu mengasah vokal semula sebelum masuk studio.
Watak Ipong dalam drama ini berat tetapi menyanyi enam lagu hang mengisi naskhah sarat misteri ini lagi mencabar kerana saya beberapa tahun kebelakangan ini sudah jarang menyanyi.
“Menyanyi kena rajin berlatih hari-hari, jadi sebelum masuk studio saya berlatih vokal. Berdebar juga sebab agak lama tak lontar suara,” tambahnya.
Gemersik Berbisik yang turut membariskan pelakon Elisya Sandha, Ezzrin Loy, Yasmin Hani, Zarul Iman, Fazlina Ahmad Daud dan Naszeli Ngasri disiarkan menerusi Unifi TV bermula 19 Januari ini. – HIBGLAM