‘Susah kalau semua benda nak sentap’

PELAKON Diana Danielle tidak mahu terlalu mengambil serius setiap komen netizen mengenai bentuk badannya yang semakin berisi kerana pertambahan berat badan.

Bagi pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 31, dia memahami punca kewujudan komen-komen sebegitu kerana netizen hanya melihat daripada luaran sahaja.

“Itulah bayaran yang perlu diterima menjadi individu dikenali. Orang hanya nampak perubahan badan kita sahaja dan mungkin mereka tiada niat pun nak ‘body shaming’.

“Itu hanya pendapat apabila melihat bentuk fizikal kita yang berubah. Kalau semua benda nak sentap susahlah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Pelakon filem Imaginur itu bagaimanapun tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya komen yang ditinggalkan agak melampau

Namun, sekiranya komen hanya sekadar ingin bertanya dan bergurau, dia akan membalas dengan cara sindian.

“Selagi mereka tak guna ayat yang pedas, tak menjatuhkan kita, saya okey tetapi jika sebaliknya, itu boleh saman!

“Itu boleh ambil tindakan tapi yang komen orang suka cuit-cuit tu, kalau balas dengan kata-kata memerli pun sudah cukup,” ujarnya.

Sejak dua bulan lalu, bentuk badan Diana mula menjadi tumpuan ramai kerana semakin berisi.

Perkara itu membuatkan ramai mendakwa isteri kepada pelakon Farid Kamil itu sedang berbadan dua selepas kembali rujuk dengan suaminya sekitar Ogos lalu.

Kata Diana, berat badannya juga bertambah sebanyak 10 kilogram (kg) apabila selera makan meningkat sejak beberapa bulan lalu.

Diana juga pernah berkongsi tentang Farid yang turut melalui fasa pertambahan berat badan sehingga mencecah 90kg. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok