“SAYA tak tahu, malas nak peduli.”
Demikian respons bekas isteri Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri mengenai berita aktor itu bakal melangsungkan pernikahan dengan wanita yang pernah digosipkan dengannya pada 16 Disember ini.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu berkata, dia sibuk menguruskan anak-anak dan kehidupan mereka sekeluarga sehingga tidak menyedari penularan kad jemputan majlis perkahwinan Hafidz dan wanita bernama Athira Yuhada.
“Saya tidak tahu (berita perkahwinan) dan memang enggan ambil kisah.
“Saya sibuk dengan kehidupan sendiri dan menguruskan anak-anak.
“Apa pun,saya sangat gembira dan berseronok dengan kehidupan sekarang. Alhamdulillah,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Nama Hafidz kembali menjadi bualan apabila kad undangan perkahwinannya dengan Athira Yuhada tular di media sosial sejak semalam.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Muhammad Hafidz Roshdi itu menegaskan hubungannya dengan wanita yang didakwa sebagai orang ketiga dalam rumah tangganya sekadar kawan biasa.
Sebagai rekod, Nurul Shuhada dan Hafidz diijabkabulkan pada 30 April 2016 namun bercerai talak satu pada 27 Julai lalu.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, pasangan terbabit dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 3. – HIBGLAM