Sebelum kahwin, baiki diri dunia akhirat dulu – Noki

SUDAH menjadi lumrah hidup sesiapa sahaja yang belum berumah tangga, selagi masih berstatus bujang, selagi itulah akan terus dihujani persoalan berkaitan jodoh.

Itu situasi sering didepani Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji sehingga hari ini apabila masih solo meskipun boleh dikatakan sudah lebih daripada mampu mendirikan masjid. 

Bukan tidak memikirkan ke arah itu, bahkan rasa cemburu melihat ramai teman rapat sudah berkeluarga membuatkan Noki tidak sabar bergelar suami, menjelang tahun hadapan.

NOKI mengakui, sedang dalam fasa mengenali hati budi seorang wanita.

Pada usia 29 tahun, Noki mengakui, sedang mengenali hati budi seorang wanita yang juga seorang penggiat seni.

“Saya memang ada sasaran nak kahwin pada usia 25 tahun. Bila tengok kebanyakan kawan rapat termasuk anggota K-Clique berkeluarga, saya pun teringin nikmati bahagia macam mereka.

Tapi sasaran dah terlepas, jadi saya tukar rancangan itu sebelum umur 35 tahun. Cuma,  buat masa ini antara saya dan si dia baru saja berkenalan.

“Kalau nak kata ke fasa lebih serius itu memang ada kerana saya rancang berkahwin tahun depan, namun itu sekadar perancangan. Doakan kami,” katanya kepada HibGlam. 

Berkongsi lanjut mengenai wanita yang kini bertakhta di hati, lelaki asal Sabah itu memberitahu, mereka serasi kerana berada dalam bidang yang sama.

“Dia juga orang seni, baru bina kerjaya sebagai pelakon. Kami sekepala dan mungkin kerana itu mudah serasi.

Setakat ini hubungan kami baik-baik sahaja, tiada apa-apa perancangan lagi, kita ikut sahaja ketentuan Allah.

“Bukannya saya enggan memperkenalkan dirinya kepada umum, tetapi semua masih terlalu awal dan buat masa ini biarlah saya sahaja yang tahu,” katanya tersenyum.

NOKI mahu jadi suami dan bapa yang terbaik buat bakal isteri dan anak-anaknya.

Nekad mahu berubah ke arah yang lebih baik sebelum menamatkan zaman bujang, Noki juga mengakui dalam proses memperbaiki diri duniawi dan ukhrawi.

Bagaimanapun, penyanyi bertubuh kekar itu menegaskan, dia hanya manusia biasa yang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan dan meminta orang ramai tidak terlalu menghakiminya.

Bila ada niat mahu berkahwin, saya fikir diri saya juga kena diperbetulkan dari segenap aspek sebab nanti mahu jadi suami dan bapa yang terbaik untuk keluarga kecil saya.

“Sebelum ini saya ada terfikir, apa yang saya minta, semua Allah makbulkan, tetapi kenapa saya tidak boleh amalkan apa yang Allah suruh.

Jadi hari demi hari saya berusaha untuk jadi individu lebih baik, alhamdulillah saya sudah dapat jaga solat dan cuba sedikit demi sedikit ubah penampilan termasuk buang rantai dan gelang,” ujarnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok