CEDERA ringan akibat kemalangan tidak menghalang penyanyi dan pelakon Alif Satar untuk meneruskan misi Geng Subuh Macam Jumaat bermula pada 1 Januari ini.
Pemilik nama Muhammad Alif Mohd Satar, 33, berkata insiden motosikal terbabas akibat cubaan mengelak kenderaan lain itu hanya sebagai ujian kecil.
“Dugaan kecil sahaja. Perjuangan belum selesai. Insya-Allah dengan rehat cukup masih boleh berjemaah Subuh bersama pada 1 Januari 2024,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran sama, Alif menyatakan kesihatannya dalam keadaan baik selepas disahkan doktor tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Malah bapa kepada tiga anak itu turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan serta keselamatan dirinya.
“Sudah buat pemeriksaan doktor dan semuanya selamat, tiada patah.
“Masa jatuh kepala sakit dan pening, takut juga ada yang serius tetapi doktor beritahu tiada simptom pendarahan dalaman.
“Cuma badan sakit-sakit. Semoga buat penghapus dosa. Allah uji sikit sahaja. Terima kasih semua yang mendoakan kesejahteraan,” ujarnya.
Semalam pelakon Bukan Sekadar Lafaz itu dalam kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya di Hartamas, Kuala Lumpur.
Kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu terjadi apabila sebuah kereta memasuki lorongnya secara mengejut hingga menyebabkannya hilang kawalan dan terjatuh di bahu jalan.
Mengenai program Geng Subuh Macam Jumaat, itu adalah inisiatif Alif dalam menyemarakkan semangat ramai untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.
Usaha yang digerakkan awal bulan ini meraih sambutan menggalakkan apabila program pertama di Masjid Saidina Umar Bukit Damansara menarik ramai jemaah, malah inisiatif itu turut mendapat perhatian sehingga ke Turkiye.
Sementara itu dalam hantaran sama, Alif yang juga pengacara memaklumkan akan mengadakan acara larian selepas solat berjemaah pada 1 Januari nanti. -HIBGLAM