JARANG muncul dalam filem dan drama tidak bermakna kecintaannya terhadap dunia lakonan semakin luntur.
Akui bintang jelita, Scha Alyahya atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 40, rasa itu tidak pernah mati bahkan dia masih dihujani tawaran lakonan.
“Banyak dapat tawaran cumanya saya anggap tiada rezeki lagi untuk berlakon kerana selalunya akan bertindan dengan komitmen kerja lain, selain sibuk menguruskan keluarga.
“Bila tawaran lakonan datang serentak dengan tawaran lain, saya akan ambil mana yang lebih dekat dengan jiwa, macam pengacaraan dan peragaan.
“Saya tak kata lakonan tidak penting tetapi saya perlu adil kepada pihak lain sebab saya ada jadual sendiri, berlakon menuntut banyak masa dan enggan menyusahkan produksi,” ujarnya serius.
Mengulas lanjut permintaan peminat yang ingin melihatnya berlakon, Scha tidak mahu menabur janji manis sebaliknya cuba sedaya upaya kembali aktif dalam bidang tersebut.
“Saya tidak mahu janji bulan dan bintang tetapi apa yang boleh saya katakan, filem terbaharu lakonan saya akan keluar tahun hadapan berjudul Telaga Suriram.
“Drama pula mungkin saya akan mula aktif tahun hadapan juga, insya-Allah.
“Saya tahu ramai peminat menantikan kemunculan semula saya dalam drama mahupun filem jadi saya akan cuba yang terbaik tahun hadapan.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak memperlahankan rentak seni. Cuma saya memilih untuk prioritikan perkara lain,” tegas Scha.
Terikat dengan komitmen sebagai mentor serta juri tetap program Hero Dewi Remaja 2023, Scha sempat melontarkan pandangan tentang situasi selebriti generasi baharu kini yang lebih mudah ke hadapan untuk mencipta nama ke peringkat global.
Isteri kepada Awal Ashaari itu percaya, evolusi dunia media sosial kini menjadi pengaruh besar buat generasi baharu selebriti berbanding artis terdahulu.
Kata Scha, segala kemudahan seperti kepelbagaian platform media sosial perlu diguna sebaik-baiknya oleh selebriti pelapis untuk menempatkan diri ke peringkat yang lebih tinggi dan bukan sekadar jaguh kampung.
“Perlu diakui, masa sudah berubah. Kita punya sasaran pun perlu lebih tinggi sebab ada media sosial.
“Kalau tak gunakan platform yang ada, rugi.
“Pelapis baharu industri seni perlu bijak memanfaatkan setiap ruang teknologi yang terbentang luas. Kena ada usaha dan perkara tersebut tidak mustahil,” katanya.
Mengulas lanjut peranan sebagai juri tetap serta mentor dalam program pencarian bakat baharu, bekas juara Dewi Remaja 2005 itu percaya pendekatan berbeza perlu diambil untuk melentur bakat baharu masa kini.
“Saya selalu ingatkan mereka untuk tunjuk sisi berbeza. Selain bakat dan ilmu, peserta perlu bijak menyerap sebanyak mungkin pengalaman sewaktu pertandingan itu berlangsung,” ujarnya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.