Aina malu, dituduh ‘hadap’ takhta Siti Nurhaliza

PETALING JAYA — Penyanyi Aina Abdul mengakui berasa malu apabila berdepan permintaan peminat yang mahukan dirinya mengambil alih takhta penyanyi nombor satu negara yang kini milik Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sedar perjalanan masih jauh, pemilik nama penuh Nurul Aina Abd. Ghani itu menjelaskan, dia hadir ke industri seni untuk berkarya, sekali gus  tidak terlintas mahu bersaing dengan mana-mana penyanyi, apatah lagi penghibur sehebat Siti Nurhaliza.

“Bila saya baca kenyataan tersebut, saya sendiri jadi malu. Jadi saya faham kenapa orang marah. Sebagai tuan badan, saya pun tidak bersetuju dibandingkan dengan figura hebat sepertinya.

“Perbandingan ini tidak sepatutnya berlaku, mereka perlu sedar penghibur yang mereka bandingkan itu adalah idola saya. Saya harap kejadian sebegini segera berakhir,” katanya kepada HibGlam.

Bagi pelantun lagu Terus Hidup itu, Siti selayaknya berada di kedudukan sekarang hasil kerja keras dan jada terhadap industri seni tanah air yang tiada tolok bandingan.

Malah, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu menyedari hakikat bahawa dirinya masih belum mampu menandingi Siti yang sudah memiliki ratusan anugerah di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Saya ada baca komen netizen yang inginkan saya berada di kedudukan nombor satu, namun saya tak pernah terlintas nak letakkan diri dalam mana-mana nombor atau posisi.

“Siti seorang daripada idola saya. Jadi, saya berterima kasih kepada Siti dan penyanyi lain yang sentiasa menyuntik inspirasi saya.

“Anak seni baharu seperti saya perjalanannya masih terlalu jauh, banyak lagi yang saya perlu pelajari,” katanya panjang lebar.

Baru-baru ini, heboh dakwaan peminat bahawa Aina sudah layak bergelar penyanyi nombor satu negara dan Siti tidak lagi relevan untuk masa kini.

Kenyataan tersebut mencetuskan kemarahan ramai sehingga ada yang membandingkan pencapaian Siti dan Aina.

Ramai mengatakan kedudukan Aina masih jauh jika hendak dibandingkan dengan Siti, sekali gus belum layak untuk bergelar penyanyi nombor satu. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok