Imagi Aina Abdul ‘rawat’ kemurungan Dina Nadzir

SERING mendengar lagu Imaji nyanyian Aina Abdul, penyampai radio dan penyanyi, Dina Nadzir mendedahkan dirinya berjaya keluar daripada masalah kemurungan.

Ujar Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 39, dendangan sarat inspirasi itu menyuntik kekuatan dirinya untuk menempuhi titik terendah dalam kehidupan.

“Kepada Aina Abdul. Sejak lima hari lalu, saya tidak memainkan lagu lain selain Imaji.

Karya ini telah membantu saya melalui satu fasa sukar dalam hidup.

“Lagu ini juga telah keluarkan saya dari kebiasaan. Menarik saya keluar dari masalah kemurungan,” katanya menerusi Instagram Story miliknya.

Pada masa sama, pelantun lagu Cinta Datang Lagi itu memberitahu Imaji secara tidak langsung membuatkan dirinya bangkit melawan segala kekusutan

“Lagu ini juga memberikan saya kekuatan, bagi harapan.

Imaji membantu saya berlawan dengan syaitan (musuh) diri saya sendiri. Saya sedar dalam diri saya adalah phoenix,” ujarnya.

Hantaran tersebut telah diulang siar pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) dalam Instagram Story miliknya sekali gus mengucapkan terima kasih kepada Dina kerana menyokong karya ciptaannya itu.

Ternyata bukan Dina sahaja yang merasai perasaan sedemikian, semakan HIBGLAM menerusi platform media sosial, rata-rata pendengar turut merasakan getar semangat membara sama menerusi dendangan tersebut.

“Hebat Aina, bukan sahaja lagu sedih, lagu menyuntik inspirasi juga berjaya dia cipta, saya akan dengar lagu Imaji dalam kereta sebelum kerja, memang rasa bersemangat,” demikian komen netizen.

“Imaji lagu penuh semangat, tidak pelik kalau ramai orang suka dengar lagu ini,” komen seorang lagi netizen. – KOSMO! ONLINE.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok