[VIDEO] Maki saya tak apa, bukan anak saya – Che Ta

“Tak kisah nak maki saya tetapi kenapa libatkan anak saya?”

Itu luahan pelakon, Rozita Che Wan apabila namanya sekali lagi dipetik pengacara sensasi, Azwan Ali baru-baru ini yang disifatkan sebagai biadab kerana membabitkan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.

Aktres yang mesra disapa Che Ta itu mengakui tidak tahu punca mengapa Azwan sengaja memuat naik perkara sebegitu dalam media sosial sedangkan kes melibatkan mereka berdua sebelum ini sudah pun ditarik semula.

“Saya tertanya-tanya, apa masalah ini? Tiba-tiba sahaja.

“Tak kisah dia (Azwan) nak maki saya tetapi kenapa perlu libatkan anak saya. Sembilan bulan 10 hari mengandungkan dia (Aaisyah), jentik pun tak pernah apatah lagi marah tetapi kenapa dia nak maki begitu?” katanya kepada HibGlam selepas tayangan gala filem Mat Kola semalam.

Che atau nama sebenarnya, Rozita Abu Bakar berkata, Azwan tidak memahami bagaimana perasaan seorang ibu apabila anak dimaki orang lain kerana tiada pengalaman sebagai ibu bapa.

“Kau pondan, tiada anak. Bukan bapa dan ibu tetapi sedap sahaja cakap anak saya macam itu.

“Dia belum kena buku dengan ruas lagi. Hari itu emosi saya baik sebab suami pesan tak suka lihat pergaduhan.

“Bila saya kongsi perkara itu baru-baru ini, memang tengah marah sebab dia mengata anak saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Che Ta mengakui memadam hantaran tersebut selepas dinasihatkan rakannya yang juga seorang ustaz.

“Kawan saya ustaz, dia tegur dan tanya sama ada sekadar konten atau sedang marah.

“Sumpah memang saya marah dan dia pesan jangan layan sebab perangai kita akan jadi sama seperti orang itu.

“Kemudian saya padam dan memilih untuk berdiam diri tanpa beri sebarang komen walau ada yang datang mencari,” jelasnya.

Che Ta juga enggan memanjangkan isu memandangkan laporan polis yang difailkan pada 2021 terhadap Azwan juga sudah dianggap selesai.

“Berdasarkan kes sebelum ini, dia mahu saya menarik balik kes dan meminta tidak memaklumkan mengenai permintaannya itu. Jadi saya menghormati permintaannya dan senyap saja sampai sekarang.

“Apabila orang tanya mengenai kes itu, saya hanya berdiam diri kerana sudah berjanji. Jadi, saya tidak tahu kenapa dia masih mengeluarkan kenyataan negatif sebegini selepas meminta maaf,” katanya lagi.

Terdahulu, Azwan pernah memuat naik kenyataan negatif terhadap seorang aktres yang difahamkan sebagai Che Ta dengan menuduh dirinya disihir oleh pelakon tersebut.

TANGKAP layar hantaran kata-kata kesat yang dikatakan ditujukan kepada Che Ta yang dimuat naik Azwan Ali di laman sosial miliknya.

Mengimbau semula, pertelingkahan antara bekas pengacara program hiburan Lagu Cinta Kita dengan pelakon drama Kak Marr itu tercetus apabila Diva AA menegur cara berpakaiannya yang dianggap keterlaluan ketika mendapatkan suntikan vaksin dengan menggunakan kata-kata kesat dan kurang sopan yang diciap dalam akaun Twitter.

Tidak tahan dihina, Che Ta seterusnya membuat laporan polis terhadap Azwan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2021. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok