Dilarang melakukan aktiviti lasak sejak kecil bukan penghalang untuk pengacara dan pelakon Hawa Rizwana meneroka sisi baharu dirinya bahkan tidak kisah anggota badannya calar-balar demi melunaskan tugasan yang digalas.
Menurut Hawa, 28, dia sebenarnya berjiwa lasak tetapi disebabkan lahir sebagai anak tunggal perempuan maka ibu bapanya tidak membenarkan beliau menyertai apa sahaja aktiviti lasak termasuk sukan.
Dari zaman sekolah hingga universiti, saya cuma diberi keizinan untuk menari sahaja. Apabila sudah dewasa dan sudah boleh berdikari, baru saya aktif melakukan aktiviti lasak,” katanya kepada HibGlam.
Bercerita tentang pengalaman menyertai program Real Men Malaysia: Wira Merah, siku Hawa luka sewaktu melakukan salah satu aktiviti.
Saya lagi suka kalau ada calar-calar sebab perkara itu memberikan saya pengalaman. Selama 22 hari berkampung di Terengganu untuk program Real Men Malaysia: Wira Merah, saya tidak fikir langsung tentang kencantikan diri yang perlu dijaga.
“Saya cuma bersolek nipis, itu pun sebab nak keluar televisyen. Saya rasa teruja dan mahu all out sebenarnya,” kata Hawa.
Pemilik nama sebenar Hawa Rizwana Ahmad Ahmad Redzuan turut menzahirkan rasa syukur penyertaannya dalam program itu mendapat restu orang tua meski memaklumkan penglibatannya pada saat-saat terakhir.
Saya rahsiakan penyertaan dalam Real Men Malaysia: Wira Merah sebab takut mereka tidak benarkan.
“Bagaimanapun, beberapa hari sebelum berangkat ke Terengganu, saya bagitahu dan terkejut apabila mereka benarkan. Malah, mereka beri sokongan terhadap saya,” katanya.
Selain Hawa, Real Men Malaysia: Wira Merah yang diadaptasi daripada sebuah program dari Korea Selatan turut disertai Jasmine Suraya, Wafiy Aan, Mat Redho, Shashic, Eric Lay, Arieff Yong dan Daniel Cheng.
Berbeza dengan versi Korea, Real Men Malaysia:Wira Merah menyaksikan peserta menyertai latihan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang akan mula bersiaran 30 Julai ini, pada pukul 9 malam di Astro Ria. – HIBGLAM