SEKITAR tahun 2000-an, lagu berjudul Biar Menjadi Kenangan nyanyian duet Reza Artamevia dan penyanyi asal Jepun, Masaki Ueda pernah mendapat tempat di hati pendengar.
Selepas 23 tahun, lagu yang dimuatkan dalam album Reza berjudul Keabadian itu dipopularkan kembali oleh penciptanya sendiri, Ahmad Dhani.
Menariknya, lagu Biar Menjadi Kenangan menjadi kolaborasi pertama penyanyi kesayangan Indonesia, Raisa dan Ahmad Dhani yang kini sudah tersedia dalam semua platform penstriman muzik.
Versi baharu
Untuk versi baharu 2023, Biar Menjadi Kenangan dinyanyikan semula Ahmad Dhani bersama penyanyi muda berbakat besar, Raisa.
Peluang merakamkan semula lagu tersebut ternyata memberi kegembiraan besar buat Raisa, 33, yang mengakui karya terbabit merupakan kegemarannya ketika di bangku sekolah.
“Sudah tentu saya berasa gembira kerana berpeluang menyanyikan semula lagu Biar Menjadi Kenangan. Saya sangat meminati lagu ini sejak zaman persekolahan lagi.
“Saat Dhani mengajak untuk berduet bersamanya menyanyikan semula, saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju,” katanya.
Ujar Ahmad Dhani pula, perancangan untuk merakamkan semula Biar Menjadi Kenangan pernah tergendala dan hampir tidak dapat direalisasikan atas beberapa kekangan.
Tergendala
Bagaimanapun, Biar Menjadi Kenangan akhirnya dapat menjalani proses rakaman seperti yang diharapkan dan dilancarkan pada waktu yang sesuai.
“Sebenarnya saya menunggu waktu yang tepat untuk melancarkan lagu ini. Bagaimanapun projek untuk merakam semula lagu pernah hampir dibatalkan kerana dianggap tidak serius,” katanya.
Ujar penyanyi berusia 51 tahun itu lagi, perancangan merakamkan semula lagu tersebut terpaksa ditangguhkan kerana kekangan waktu.
Katanya, Raisa sibuk membuat persiapan membuat konsertnya di Stadium Utama Gelora Bung Karno sementelah dirinya tekun membuat persiapan jelajah konsert Dewa19.
Sementara itu, pengarah Juni Records selaku pengedar, Adryanto Pratono, berkata, idea menggabungkan Ahmad Dhani dan Raisa melupakan satu usaha luar biasa dan berbeza.
“Ahmad Dhani dan Raisa merupakan dua penyanyi dengan era berbeza. Gabungan kedua-dua mereka merupakan satu projek luar biasa.
“Saya selaku wakil Juni Records yang juga label dinaungi Raisa menganggap projek ini sangat istimewa dan berbeza,” ujarnya.
Tambah Adryanto, dia turut merasakan kolaborasi antara Ahmad Dhani dan Raisa cukup serasi walaupun melibatkan lintas generasi berbeza.
“Ahmad Dhani dan Raisa sama-sama ‘meneroka’. Khususnya dalam mencari jalan tengah untuk mempamerkan kehebatan vokal masing-masing.
“Saya yakin Biar Menjadi Kenangan bakal kembali mencipta fenomena tersendiri, seperti 23 tahun lalu,” kata Adryanto.
Lagu menggamit memori itu kini boleh didengari dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan juga YouTube Music.