Dambaan jiwa Hafreez Adam

KERAP membawakan karakter sama sejak awal kemunculan membuatkan jiwa pelakon Hafreez Adam meronta untuk tampil dengan sesuatu yang berbeza.

Ujar pemilik nama penuh Hafreez Adam Aizat Zahalan itu, sudah sampai masa untuknya keluar dari kepompong dengan menggalas watak lebih berat yang menjadi idamannya sejak sekian lama.

“Buat masa sekarang saya selalu dapat watak sama seperti anak orang kaya dan pengarah urusan yang hidup senang lenang. 

“Saya sebenarnya mengidamkan watak luar daripada kebiasaan, tidak klise dan boleh mencabar keupayaan lakonan.

“Banyak karakter yang saya teringin jayakan seperti penagih dadah, psiko, gelandangan dan mungkin juga peranan bapa muda yang menghadapi kesusahan membesarkan anak. Setakat ini belum ada rezeki lagi,” ujar anak jati Kuala Lumpur itu. 

Selain ingin versatil dalam dunia lakonan, jejaka berusia 33 tahun itu dia juga mahu penonton melihat kebolehan lakonannya yang tidak berpasak hanya pada satu acuan. 

“Bila kita sudah banyak kali bawa watak sama, akan ada satu perasaan mahu cuba karakter luar kotak dan membentuk karier lakonan ke arah yang tidak pernah penonton duga.

“Sebenarnya perkara ini adalah kepuasan sebagai seorang pelakon, tidak boleh hanya selesa dengan watak yang biasa dibawa, kena versatil supaya penonton tak cepat bosan.

“Bukanlah selepas ini saya hanya memanifestasi watak-watak provokasi, saya hanya mahu penonton lihat sisi lain kualiti lakonan yang boleh saya tawarkan,” katanya yang kini hangat dengan drama bersiri romantik Cik Misi 123 arahan Feroz Kader.   

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok