PENYANYI, Datuk Aishah tidak ambil pusing dengan komen negatif yang dilemparkan netizen terhadap dirinya berikutan terlalu lantang bersuara dalam media sosial.
Bahkan, pemilik nama lengkap Wan Aishah Wan Ariffin, 58, itu menganggap, kelantangannya dalam media sosial menepati prinsip hidup yang tidak teragak-agak menyuarakan sesuatu jika tidak kena di matanya.
“Tak tahu nak kata apa. Rasanya saya memang lantang bersuara. Ramai orang salah anggap lantang itu sombong.
“Tetapi anda lupa bahawa lantang itu bermaksud kita ada prinsip. Sebenarnya pada usia begini, saya malas nak bising-bising.
“Namun, ada sesuatu yang disebabkan oleh prinsip diri, maka saya rasa tidak boleh beri muka dan tetap akan memperkatakan sesuatu,” ujarnya kepada HibGlam.
Ujar penyanyi yang popular menerusi lagu Janji Manismu itu lagi, dia tidak mampu menghalang orang ramai untuk membenci dirinya sehingga tergamak meninggalkan komen jelik.
“Di usia saya yang sekarang, janganlah anda ambil sesuatu perkara itu terlalu serius. Sudah 38 tahun berada dalam industri ini, saya tidak perlu buktikan apa-apa.
“Apa yang saya belajar daripada media sosial adalah, kalau dia ‘haters’ (pembenci), buatlah macam mana pun dia tetapi benci.
“Jika mereka peminat maka mereka akan setia bersama anda. Tak mengapalah kalau saya ada 10 peminat sahaja, saya akan menyanyi untuk 10 orang itu,” katanya.
Terdahulu, Aishah yang tersingkir daripada program All Stars Gegar Vaganza (GV10) malam tadi dikritik netizen yang melabelnya sebagai artis ‘banyak bunyi’ kerana kerap menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara.
Bahkan, Aishah sewaktu tersingkir malam tadi turut mengejutkan banyak pihak apabila memberikan ucapan sinis doa netizen untuk melihatnya tersingkir GV10 dimakbulkan. – HIBGLAM