BAGI menjayakan siri romantik Viu berjudul The Betrayal, pelakon Anne Thongprasom mengikuti bengkel lakonan bersama aktor terkenal, Ananda Everingham.
Tidak cukup dengan itu, menurut Anne, dia dan Ananda hidup seperti pasangan berkahwin sebenar bagi membina keserasian sebagai suami isteri. Semua itu dilakukan demi The Betrayal.
“Disebabkan ini julung kali bergandingan, kami banyak menghabiskan masa dengan perbincangan dan bersama-sama menghadiri bengkel untuk bina keserasian.
“Selain itu, kami hidup seolah-olah pasangan suami isteri sebenar seperti tidur dan makan bersama.
“Ananda memang sangat profesional dan kerana itu kami cepat serasi,” katanya yang memegang watak Dr. Janepitcha.
Meskipun dipuji rakan gandingannya, Ananda memaklumkan agar sukar untuknya menjiwai watak Athin sebagai suami dan bapa kerana belum dikurniakan zuriat dalam kehidupan sebenar.
“Saya baru sahaja berkahwin dan tidak mempunyai anak. Saya tidak tahu bagaiman rasanya menjadi bapa.
“Jadi, agak sukar untuk saya garap watak ini bagi membuatkan penonton percaya dan yakin bahawa saya seorang bapa,” katanya.
The Betrayal merupakan pembikinan semula siri BBC, Doctor Foster yang dilancarkan pada 2015.
Siri ini mengisahkan seputar kehidupan Dr. Janepitcha, seorang pakar psikatri berjaya, isteri dan ibu yang penyayang.
Hidupnya yang sempurna bagaimanapun perlahan-lahan hancur apabila mula mencurigai kejujuran suaminya, Athin.
Keadaan menjadi tidak terkawal apabila dia bertindak mengancam orang sekeliling sehingga memisahkan keluarganya.
Siri Thailand yang ditayangkan melalui platform penstriman Viu setiap hari Rabu hingga Khamis bermula 23 Ogos lalu ini akan berakhir esok.
Jangan ketinggalan menyaksikan apa kesudahan kisah Dr Janepitcha dan belahan jiwanya, Athin yang dibawakan khas Viu untuk anda. -HIBGLAM