SUSULAN isu bil makan mencecah RM1,260, isteri kepada penyanyi Mawi, Ekin menegaskan tiada keperluan untuk bertemu pemilik kedai makanan laut itu biarpun penjelasan serta resit ditunjukkan wanita terbabit mengelirukan.
Kata Ekin atau nama sebenarnya Nora Asyikin Rahmat, dia sudah menyuarakan ketidakpuasan hati dan enggan memanjangkan lagi perkara itu.
“Bayaran sudah dijelaskan dan makanan pun dah masuk perut. Tak perlu untuk saya panjangkan isu ini, apatah lagi bertemu dengan individu itu.
“Niat kami mahu berkongsi rezeki tetapi lain pula jadinya. Kami ke kedai tersebut pun dia yang panggil. Tidak mengapa, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan,” katanya.
Mengulas penjelasan yang dibuat peniaga terbabit, Ekin berkata, wanita itu tidak memberi gambaran tepat berkenaan resit yang ditunjukkan kepada umum, selain tidak menyatakan dengan betul bilangan ahli keluarganya ketika itu.
“Saya ada tengok video mak cik itu, resit ditunjukkan tak sama dengan apa yang diberikan kepada saya kerana bil asal tiada pun butiran terperinci setiap hidangan.
“Kalau dia tunjukkan resit yang ada perincian hidangan dan harga, tentu tak jadi isu.
“Malah anggota keluarga saya yang makan pun bukan 20 orang macam dinyatakan, semuanya 16 orang iaitu 10 dewasa, empat kanak-kanak dan dua bayi. Saya ada gambar,” katanya.
Ekin, 44, sebelum ini meluahkan rasa terkejut apabila bil juadah dinikmatinya bersama keluarga di sebuah kedai makanan laut di Johor mencecah RM1,260 yang disifatkan sebagai cekik darah.
Pendedahan tersebut meraih maklum balas ramai, namun pemilik gerai membalas kenyataannya dengan memuat naik video penjelasan, selain memberi butiran terperinci harga lauk.
Susulan dakwaan tersebut, premis terbabit diberi notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna iaitu harga yang mengelirukan. – HIBGLAM