SELEPAS lapan tahun berumah tangga, bekas pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Nadia Annuar mengesahkan sudah bercerai dengan ahli perniagaan, Hafiz Salleh.
Begitupun, pemilik nama penuh Nadia Shahrul Annuar 39, enggan mendedahkan butiran lanjut termasuk tarikh mereka berpisah.
“Saya kini ‘single but not available’. Buat masa ini, saya ingin berehat daripada bercinta atau mempunyai sebarang hubungan.
“Mummy pun suruh saya fokus kepada diri sendiri dan anak-anak serta buat apa yang saya inginkan,” katanya dalam sesi wawancara di platform media sosial sebuah majalah.
Dalam temubual itu, Nadia yang juga kakak kepada pelakon, Harris Anuar memaklumkan dua anaknya kini bukan berada di bawah jagaannya.
“Saya memiliki dua cahaya mata. Walaupun mereka tidak tinggal bersama atas sebab tertentu, saya cuba untuk sentiasa ada ketika anak-anak memerlukan,” katanya lagi.
Menurut Nadia lagi, paling penting sekarang adalah terus kuat semangat selain menjalani kehidupan sebaik mungkin.
Berkongsi lanjut perancangan masa depan, Nadia mengakui mahu memberikan tumpuan terhadap pengacaraan dalam pelbagai bahasa.
“Saya ingin teroka kelebihan bercakap dalam pelbagai bahasa. Saya juga banyak buat tugasan pengacaraan membabitkan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Thailand.
“Kebolehan pelbagai bahasa memberi kelebihan dan kelainan kerana saya tidak memerlukan juru alih bahasa, sekali gus dekat dengan penonton,” jelasnya.
Perkahwinan dengan Hafiz pada November 2015 dikurniakan seorang cahaya mata, Dya Naylaa, yang kini berusia tujuh tahun.
Sebelum itu, Nadia yang bergelar usahawan kosmetik pernah mendirikan rumah tangga bersama Sulaiman@Mohd Helmi Mohd Ilyasdi tetapi bercerai pada Oktober 2010.
Perkahwinan tersebut dikurniakan putera, Mohamed Aaron Erwin, 14. – HIBGLAM