Tersingkir GV10, Suki akur keputusan juri

MESKI kecewa tersingkir awal dalam program All Stars Gegar Vaganza (GV10) malam tadi, penyanyi Suki Low dilihat berlapang dada apabila boleh kembali menjalani rutin harian seperti biasa.

Suki atau nama sebenarnya Low Sook Yee, 33, ketika ditemui selepas konsert minggu kedua GV10 malam tadi berkata, selain dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga terutama anaknya, dia juga gembira apabila tidak perlu membatalkan tawaran menjayakan persembahan yang diterima sebelum ini.

“Lihat dari sudut  positif, dengan penyingkiran ini saya dapat kembali menjalani rutin normal bersama keluarga. Bila anak saya dapat tahu ibunya masuk GV10, dia faham saya tidak dapat habiskan banyak masa bersamanya.

“Selain dapat bersama keluarga, saya juga gembira apabila tidak perlu batalkan tawaran menjayakan persembahan yang telah dipersetujui,” katanya.

Kata pelantun lagu Berdiri itu, apabila terpilih menyertai GV10, dia terpaksa menangguhkan dahulu jawapan tawaran persembahan daripada beberapa pihak.

“Banyak juga tawaran yang terpaksa saya tangguh dahulu jawapan kerana tidak pasti boleh melakukannya atau tidak.

“Selagi berada dalam pertandingan, saya tidak berani terima tawaran kerana mahu fokus GV10. Jadi, selepas tersingkir bolehlah saya terima semua tawaran itu,” katanya.

Mengulas lanjut penyingkirannya malam tadi, Suki mengakui sedikit terkilan kerana tidak sempat mempamerkan kejutan yang sudah dirancang untuk pertandingan tersebut selain belum puas beraksi di pentas mega itu.

“Rasa tak puas lagi (beraksi atas pentas GV10). Namun, apa-apa pun saya akur dengan keputusan juri dan sudah pun menjangkakan akan tersingkir selepas gagal mempamerkan persembahan yang baik.

“Lagi pun, pertandingan kali ini disertai juara-juara GV terdahulu yang hebat. Jadi, juri meletakkan harapan tinggi terhadap semua peserta untuk mempamerkan persembahan mantap,” katanya.

Tambah Suki lagi, menerusi pertandingan kali ini, barisan juri sangat teliti dan akan mengambil kira sekecil-kecil kesilapan yang dilakukan peserta.

“Jadi, kalau persembahan saya pada malam ini (semalam) tidak bagus di mata juri, maka memang tidak okeylah,” katanya.

Pada konsert minggu kedua GV10 malam tadi, Suki yang menyanyikan lagu Tak Ingin Usai, dendangan asal penyanyi seberang, Kiesya Levronka terpaksa akur apabila tersingkir bersama seorang lagi bintang, Cliff Umar.

Kedua-dua penyanyi itu terpaksa berpuas hati apabila berada di kedudukan dua terbawah selepas memperoleh markah sebanyak 53.25 peratus (Cliff ) dan 56.25 peratus (Suki). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok