Siti ‘sekolahkan’ netizen kutuk rupa paras Liza Hanim

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan kelantangan pemilik akaun Instagram Jabatan Netizen yang mengkritik rupa paras dan fizikal rakan seperjuangannya, Liza Hanim adalah sebagai tidak cerdik.

Menurut Siti, 44, kesempurnaan seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan kecantikan apatah lagi semua itu merupakan anugerah Tuhan kepada setiap individu.

Tulisan daripada @jab_netizen jelas menunjukkan keperibadiannya yang tidak baik dan hati yang hitam.

“Jangan menyentuh soal fizikal, sebab semua orang tidak sempurna.

“Kesal dengan kelantangan netizen yang konon pandai menilai tapi sebenarnya menyerlahkan lagi kebodohannya,” katanya dalam nada kecewa.

Sentiasa memberi sokongan padu, pelantun lagu Percayalah itu mendoakan agar setiap langkah Liza dalam industri seni diberikan kejayaan berganda oleh Allah SWT.

Kepada kakak saya Liza Hanim, teruskanlah perjuangan kerana setiap pengorbanan dan kesungguhan, Allah sudah menjanjikan kejayaan.

“Semoga Tuhan permudahkan segala-galanya buat awak,” ujarnya.

Komen Siti seterusnya dibalas semula oleh Liza, 44, yang berharap perkara tersebut menjadi pengajaran buat pihak lain.

Terima kasih sayang (Siti). Sebak baca komen awak dan semoga isu ini menjadi iktibar kepada semua.

“Jadilah individu yang baik buat semua orang,” balasnya.

Terdahulu, media sosial semalam kecoh dengan komen yang ditulis pemilik akaun Jabatan Netizen yang menyifatkan rupa paras dan fizikal Liza atau nama penuhnya Haliza Hanim Abd Halim menjadi penghalang utama dirinya untuk popular.

Antara yang dikritik ialah tekstur kulit wajah Liza iaitu mempunyai bekas jerawat serta bentuk hidung tidak mancung.

Lebih mengecewakan, individu tersebut turut membanding-bandingkan perjalanan karier Liza dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dianggap lebih berjaya daripadanya.

Akibat komen tersebut, individu itu memohon maaf kepada Liza selepas meraih ribuan kecaman yang rata-ratanya berpendapat kejayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan paras rupa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok