Fitnah kami nak bercerai? Jawablah di akhirat nanti – Ubai

PEMPENGARUH media sosial, Ubai MZ kesal apabila status perkahwinannya dengan penyanyi, Shila Amzah menjadi bahan mainan segelintir individu yang disifatkan sebagai melampau.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Ubaidilah Mohd. Zulkefli itu, dia dan isteri tidak menyangka rumah tangga yang masih dalam fasa bulan madu berdepan dakwaan mengarut itu.

“Saya tidak akan ambil apa-apa tindakan terhadap individu yang mendakwa perkahwinan kami di ambang perceraian kerana sudah kerap sangat berdepan pelbagai spekulasi.

“Namun, kali ini memang teruk. Kami baru sahaja kahwin tapi sudah difitnah akan berpisah. Harapnya selepas ini tiada lagi yang melemparkan tuduhan tidak berasas,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Menurut Ubai, dia baru sedar tentang kewujudan artikel berbaur fitnah mengenai rumah tangganya terbitan sebuah portal selepas rakan karib bertanya khabar.

“Saya terkejut apabila kawan tanya  saya okey tak. Rupa-rupanya dia merujuk kepada spekulasi dalam penulisan tersebut.

“Selepas itu saya maklumkan isteri. Kami tidak sangka dalam zaman ini ada orang masih bermodalkan fitnah dan menyebarkan cerita tidak benar tanpa usul periksa,” ujarnya.

Ditanya sama ada dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit, Ubai berkata dia belum terfikir untuk melakukannya kerana enggan berdepan proses yang renyah selain yakin individu terbabit tidak mampu membayar saman.

“Buat mereka yang sesuka hati menabur fitnah, di dunia mungkin anda terlepas tetapi menjawablah di akhirat kelak.

“Jangan kalau sudah sampai kena saman, bermacam alasan pula diberi. Berfikirlah secara waras sebelum menyebarkan perkara yang tidak betul,” tutur pempengaruh berusia 25 tahun itu.

Minggu lepas, Ubai dan Shila terpalit kontroversi apabila ada yang mendakwa perkahwinan mereka bakal berakhir.

Pasangan romantis itu selamat bersatu sebagai suami isteri pada 5 Ogos lalu selepas lima bulan bercinta.

Sebelum ini, mereka mengikat tali pertunangan pada 27 Mei yang berlangsung secara tertutup. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok