Nabil, Jihan, Elly bergabung panaskan pentas GV10

TERJAWAB sudah siapakah gerangan pengacara All Stars Gegar Vaganza musim ke-10 (GV10) apabila Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlie bersatu di atas pentas pada acara dinanti ramai itu sebentar tadi.

Kemunculan kesemua hos terkenal itu disambut dengan sorakan penonton sekali gus menjadi petanda gabungan mereka memgendalikan program hiburan nombor satu negara itu mendapat restu ramai.

Nabil dan Jihan merupakan pengacara Gegar Vaganza bagi musim pertama hingga kelapan.

Bagaimanapun, pada musim kesembilan, Elly Mazlein atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom menggantikan Jihan yang baru sahaja melahirkan anak kedua pada awal September tahun lalu.

Keserasian Nabil dan Elly Mazlein pada musim lalu meletakkan standard yang tinggi malah penonton mengharapkan kualiti sama ditonjolkan Jihan dalam mengendalikan program nyanyian kegemaran ramai itu.

Menjengah platform media sosial, rata-rata netizen memberi reaksi positif, sekali gus menyifatkan gabungan Nabil, Jihan dan Elly bakal menghangatkan GV10 setiap minggu.

Malah, netizen turut gembira apabila melihat Jihan kembali mengendalikan pentas GV10 selepas berehat tahun lalu.

“Selamat kembali Jihan, gandingan Nabil dan Jihan sangat serasi dan tidak dapat disangkalkan lagi, penyampaian yang bersahaja dan tidak over,” komen netizen.

“Dengan kembalinya Jihan, malam konsert Gegar Vaganza akan menjadi meriah dengan telatah mereka yang gemar mengusik juri. Terbaik,” komen penonton.

Konsert minggu pertama GV10 yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA Shah Alam masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus barisan juri profesional.

Kesemua peserta diadili maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda terkenal Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Antara barisan juara bertanding pada GV10 ialah Ayai Illusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Datuk Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

Peserta yang dinobatkan sebagai Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok