‘Saya dijaga ketat, lepak restoran mamak pun dilarang’

MERAIH gelaran juara Akademi Fantasia musim lima (AF5) pada usia 19 tahun, penyanyi yang kini bergelar usahawan berjaya, Mila Jirin mengakui ibu bapanya merupakan insan utama di sebalik setiap perjalanan kehidupan dan karier sehingga ke hari ini.

Bukan hidup dikongkong, sebaliknya Mila atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 39, lebih selesa mengatur langkah diawasi insan terdekat walaupun selepas membina keluarga sendiri.

Baginya, kehadiran orang tua di sisi sebagai nadi, meletakkan dirinya pada tahap sekarang dan secara tidak langsung mengemudi rentaknya agar jangan tersasar daripada laluan asal.

Kembali aktif dalam arena nyanyian selepas sedekad memberi fokus terhadap perniagaan, ibu bapa masih menjadi rujukan atau tempat meluahkan perasaan.

“Kami sangat rapat. Merekalah pendorong yang membuatkan saya nekad menyertai uji bakat AF5 sekitar tahun 2007 seterusnya bergelar juara. Dari situ saya terus mengorak langkah mengejar impian.

Walaupun bernaung bawah syarikat pengurusan, mereka tetap antara individu terpenting dalam hidup saya.

“Mereka yang mengusahakan perniagaan makanan juga menjadi pencetus untuk saya meneroka bisnes dewan acara Bizzmilla,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu, Tersimpan Dalam Hati, baru-baru ini.

MILA mengakui ibu bapanya merupakan insan utama di sebalik setiap perjalanan kehidupan dan kerjayanya sehingga ke hari ini.

Mengulas mengenai isu ibu atau bapa segelintir artis yang menjadi bualan dalam media sosial, akuinya bersandarkan pengalaman sebagai penjaga mempunyai alasan tersendiri dalam melindungi anak tunggalnya.

Begitupun, Mila yang bergelar ibu kepada seorang anak berusia sembilan tahun itu berkata, sewajarnya pemantauan dari belakang tabir sudah memadai tanpa perlu terbabit secara menyeluruh.

“Mungkin ada sebab kenapa mereka mencampuri urusan anak-anak yang bergelar artis tapi pada pandangan saya, tak perlu sampai mencampuri urusan profesional.

“Zaman sekarang berbeza kerana media sosial sudah menggantikan televisyen. Dahulu saya dijaga pihak pengurusan dengan sangat ketat.

Saya tidak dibenarkan berpeleseran, malah melepak di restoran mamak pun dilarang.

“Ini antara sebab kenapa saya katakan langkah artis dahulu juga dijaga syarikat pengurusan sebaik mungkin,” kongsinya.

SELEPAS pelancaran single berjudul Tersimpan Dalam Hati, bersama Nova Music, Mila juga dalam perancangan menerbitkan sebuah album penuh sebelum akhir tahun ini.


Disiplin tinggi

Tambah penyanyi yang popular menerusi lagu Persis Mutiara itu, disiplin yang diterapkan sejak awal pembabitan dalam dunia seni membentuk dirinya menjadi artis yang peka menjaga imej sehingga hari ini.

Sampai sekarang saya jarang dilihat melepak atau keluar bersama rakan-rakan. Dari dahulu memang rutin hidup saya hanya pergi dan balik kerja,” ujarnya.

Malah tegas Mila, ibu bapanya juga tidak pernah mengatur atau mencampuri perjalanan kerjayanya, termasuk ketika dia berdepan pelbagai kontroversi suatu ketika dahulu.

Mereka tidak pernah ikut saya ke lokasi persembahan dan saya ada kehidupan sendiri. Walaupun tidak campur tangan, mereka sentiasa memberi sokongan di belakang,” ulasnya.

Sementara itu, dia juga sudah sedia melangkah semula ke arena muzik menerusi single ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso yang bakal disusuli penerbitan album penuh sebelum akhir tahun ini.

Bagi Mila, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hadir pada waktu yang dirasakan paling tepat selepas mendapat sokongan insan paling penting dalam hidupnya, suami serta ibu bapanya.

Selain suami, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, restu orang tua saya, Zarinah Haron serta Jirin Borhan yang membuatkan saya teruja untuk aktif semula,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok