Rumah Hati hadiah indah Nadhif, Fabio

KEJAYAAN mengumpulkan sekitar 5,000 penonton di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, Ahad lalu membuktikan bahawa gabungan dua penyanyi Indonesia, Nadhif Basalamah dan Fabio Asher berada dalam kelas tersendiri.

Menerusi Konsert Rumah Hati, gabungan jejaka berkenaan bukan sahaja berjaya memukau dewan dengan persembahan vokal mantap, malah mengukuhkan lagi hakikat bahawa muzik beraliran galau mempunyai tapak yang sangat kukuh di hati peminat tempatan.

Kehadiran ribuan peminat yang memadati ruang konsert jelas menunjukkan bahawa karya-karya bertemakan penceritaan emosi, patah hati dan luahan perasaan daripada seberang sentiasa relevan serta mempunyai daya tarikan yang cukup kuat dalam kalangan pendengar di Malaysia.

Melihat dewan acara sarat penonton turut membuatkan Nadhif terkejut memandangkan namanya masih dianggap baharu dalam kelompok peminat luar.

“Saya sendiri tak terkira berapa kali datang ke sini (Malaysia) tetapi kali ini sangat berbeza.

Melihat 5,000 orang hadir semata-mata untuk konsert ini merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan. Terima kasih sudi datang,” katanya semasa konsert.

Nadhif tampil membuka tirai pentas dengan seleksi lagu seperti After School Sad Session, Semoga Kau Bisa Maakanku, Sesuatu, Wonder In Time, Something More dan Penuh.

Meskipun sebahagian lagu awal kurang mesra di telinga peminat Malaysia, kehangatan persembahan tetap terasa apabila sebilangan pemuja setia dilihat turut menyanyi bersama-sama.

Selesai babak pertama bersama Nadhif, giliran Fabio pula mengambil alih pentas dengan menyampaikan deretan lagu yang jarang dipersembahkan secara terbuka seperti Mahir, Bisakah, Hati Lain Di Hatimu, Setia Menunggu, Boleh Kau Adu, Tanpa Balasmu, Hujan Hari Ini dan Bertahan Terluka.

Di sebalik kelantangan dan kehebatan vokal yang dipersembahkan, penyanyi berusia 33 tahun itu mendedahkan keadaan kesihatannya agak kurang memuaskan, namun enggan mengecewakan penonton.

“Maaf kalau suara saya kedengaran kurang sihat tetapi saya berjanji akan memberikan yang terbaik buat kalian.

Saya membaca semua DM (mesej langsung) yang dihantar melalui media sosial. Saya meneliti segala permintaan lagu.

“Malam ini saya bawakan beberapa lagu yang jarang dipersembahkan,” katanya.

Berlangsung selama dua jam 15 minit, konsert turut menyaksikan Nadhif menghangatkan suasana menerusi lagu Jatuh Cinta Lagi, Jika Kau Lela Denganku, Bergema Sampai Selamanya dan hit popularnya, Penjaga Hati.

Lebih istimewa, jejaka berusia 26 tahun itu menghadiahkan single terbaharunya berjudul Seperti Semula secara eksklusif buat peminat Malaysia.

Memasuki set terakhir, Fabio kembali mengawal pentas dengan seleksi lagu popular yang berhantu seperti Pelangi, Nikmati Sakitnya, Berharap Kau Kembali, Tanpa Rasa Bersalah dan Rumah Singgah.

Beberapa lagu lain seperti Overture, Semusim dan Aku Berjanji turut disampaikan secara duet.

Melengkapkan malam, Nadhif dan Fabio menyampaikan lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu serta Akhir Yang Manis. Semuanya indah dan benar-benar bekalan hati sehingga bertemu lagi suatu hari nanti. – HIBGLAM

CAPTION

DENGAN

DALAM durasi lebih dua jam persembahan, Nadhif dan Fabio sangat cemerlang membeli jiwa penonton dengan karya indah mereka. – FARIZ RUSADIO

KEMUNCULAN Fabio Asher dan Nadhif Basalamah di pentas Rumah Hati ternyata tidak sama sekali mengecewakan penonton.

NADHIF menyifatkan tenaga dan semangat penonton konsert di Kuala Lumpur kali ini benar-benar luar biasa.

himpunan lagu galau, kehadiran Fabio Asher cukup membangkitan kehangatan di jiwa penonton.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok