KETIKA ramai penyanyi berlumba-lumba mengeluarkan single baharu, Sabhi Sadhi memilih jalan berbeza apabila bukan mengejar kuantiti, sebaliknya fokus terhadap kualiti menerusi lagu Romansa.
Selepas mencetuskan fenomena dengan Cinta Sesungguhnya sekitar 13 tahun lalu disusuli beberapa single dengan Setia Menunggumu diterbitkan pada 2017 sebagai bingkisan terdahulu, kini dia kembali dengan dendangan baharu.
Baginya karya yang mengangkat cinta, kesetiaan dan pengorbanan itu bukan sekadar memenuhi permintaan peminat yang mahukan lagu terkini, sebaliknya lahir daripada proses pemilihan yang teliti selain perlu membawa mesej positif kepada pendengar.
Saya memang sangat memilih lagu. Sebab itu orang jarang nampak saya keluarkan beberapa lagu dalam setahun. Biasanya saya ambil masa dua hingga tiga tahun untuk muncul dengan karya baharu.
“Saya mahu setiap karya mempunyai jalan cerita yang baik. Kalau pun berkisar tentang kekecewaan, saya pastikan mesejnya tidak terlalu negatif sehingga mempengaruhi pendengar membuat keputusan yang merugikan diri sendiri.
“Muzik bukan sekadar hiburan, tetapi mampu menyelitkan pengaruh positif yang besar terhadap emosi insan,” luahnya.
Pada masa sama, menurut Sabhi kejayaan Cinta Sesungguhnya turut menjadi penanda arasnya setiap kali mahu menghasilkan karya baharu, namun dia tidak pernah membandingkan dirinya dengan penyanyi lain.
Saya sentiasa fikir lagu apa yang mampu menandingi atau sekurang-kurangnya menyamai impak Cinta Sesungguhnya. Saya tidak bersaing dengan orang lain, tetapi mahu memperbaiki karya sendiri,” ujarnya.
Elemen romantik
Akui anak seni juga bergelar pelakon itu, Romansa yang sarat elemen romantik turut mengundang tanggapan bahawa dia kini sinonim sebagai penyanyi lagu perkahwinan.
Tidak kisah orang nak kata apa. Yang penting saya banyak menerima tawaran menyanyi di majlis perkahwinan.
“Kalau ada pasangan memilih lagu saya untuk hari bahagia mereka, itu satu rezeki dan penghargaan besar. Setiap artis pasti mahu menghasilkan lagu yang kekal di hati pendengar,” katanya.
Romansa merupakan hasil kerjasama Sabhi bersama komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna, malah Sabhi juga terlibat secara aktif dalam pembikinan lagu dengan memberikan panduan mengenai konsep serta emosi yang ingin disampaikan.
Saya mahukan elemen keceriaan, kebahagiaan dan mesej positif. Saya turut menjadikan Cinta Sesungguhnya sebagai rujukan untuk mendapatkan rasa yang saya inginkan,” tambahnya.
Dari segi penceritaan, Romansa berkisar perjalanan cinta dua insan yang berdepan pelbagai dugaan sebelum akhirnya kembali bersatu membina kehidupan bersama.
Melodi lagu ini sangat romantis dan liriknya juga indah. Ia menceritakan pasangan yang melalui pelbagai cabaran, namun cinta menjadi kekuatan untuk mereka kembali bersama,” katanya.
Jika dibandingkan dengan Cinta Sesungguhnya, Sabhi berkata kedua-dua lagu mempunyai roh yang hampir sama, namun single baharu ini lebih memfokuskan perjalanan sebuah hubungan berbanding konsep perkahwinan semata-mata.
Sementara itu, Farouk pula berkata idea menghasilkan dendangan tersebut tercetus daripada keinginan menghasilkan karya dekat dengan realiti kehidupan, khususnya tentang menghargai insan tersayang sebelum segalanya berubah.
“Tema cinta dan kehilangan sangat dekat dengan kehidupan ramai orang.
Mesej utama adalah menghargai cinta sebelum hilang kerana kadangkala kita hanya sedar nilai sesuatu hubungan apabila ia mula menjauh,” ujarnya.
Lebih menarik, Sabhi bukan sahaja menjadi penyanyi, malah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik video yang memaparkan perjalanan cinta pasangan daripada pertemuan, perpisahan sehingga disatukan semula dalam ikatan perkahwinan.
Diterbitkan AJ Productions, Sabhi berharap Romansa mampu mengulangi kejayaan Cinta Sesungguhnya serta terus mendapat tempat di hati para pencinta muzik. – HIBGLAM
