‘Beritahu jika suka saya, kita boleh kenal lebih rapat’

PENYANYI Amir Masdi mendedahkan ibunya pernah menzahirkan hasrat melihatnya mendirikan rumah tangga pada usia 30 tahun.

Menurut Amir, 30, dia bagaimanapun tidak berasa tertekan dengan permintaan tersebut apatah lagi masih belum menjalin hubungan dengan mana-mana wanita ketika ini.

Sebelum ini mak pernah cakap kalau boleh mahu melihat saya berkahwin pada usia 30. Cuma nak capai sasaran itu macam tak sempat sebab saya belum mempunyai calon lagi ketika ini.

“Tapi mak bukan jenis yang mendesak sehingga nak cari calon untuk saya malah ahli keluarga lain pun bukan jenis begitu.

“Dia kata terpulang kepada saya. Kalau tiada lagi, tak mengapa boleh tunggu,” katanya ditemui pada majlis Muzik Lab: Hab Kreatif Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, dia tidak menolak kesibukan dan jadual kerja yang padat antara faktor dirinya masih belum bertemu calon isteri.

Amir turut memaklumkan tidak kisah sekiranya mana-mana wanita mahu mendekati dan mengenalinya dengan lebih rapat.

“Saya rasa jadual kerja yang sibuk membuatkan saya tak sempat fikir untuk mengenali sesiapa ketika ini.

Berhubung atau berbual dengan mana-mana wanita pun memang tak ada lagi setakat ini, tambahan pula memang tak pandai nak ‘detect’ sama ada terdapat wanita yang tunjuk ‘hint’ nak kenal saya.

“Tapi bukanlah macam dia kata dia suka saya, saya terus kata okey. Tak adalah sampai macam itu. Beritahu jika suka saya, kemudian barulah kita boleh kenal lebih rapat,” katanya lagi.

Penyanyi lagu Nurcinta itu turut memberitahu, dia tidak meletakkan sebarang kriteria untuk mencari calon isteri sebaliknya lebih cenderung memilih wanita bersikap tenang.

“Dia asal dari negeri mana pun saya tak kisah.

“Cuma saya sukakan wanita yang tenang,” kongsinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok