Tahun terakhir bawa watak wanita tersakiti – Ezzanie Jasny

PELAKON Ezzanie Jasny mengakui watak air mata dan wanita teraniya yang sering dipegang dalam beberapa buah drama sebelum ini termasuk Dia Bukan Syuga meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Menurut Ezzanie atau nama penuhnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, dia juga sudah lali apabila ramai melabelnya wajah watak wanita tersakiti, didera dan air mata.

Seperti biasa, rasa-rasanya semua orang pun tahu kalau cerita kena pukul-pukul, memang wajah saya.

“Tapi insya-Allah mungkin tahun ini tahun terakhir saya berlakon watak wanita tersakiti.

“Kalau boleh tak mahu duduk dalam kepompong yang sama saja. Mungkin tahun depan saya nak tukar genre drama lain,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada majlis pelancaran Astro Fandom, baru-baru ini.

Berkongsi impak yang dilalui, dia memberitahu antara kesan yang ditinggalkan disebabkan watak sebegitu antaranya keletihan melampau mental dan fizikalnya.

“Ada kesan dan paling ketara terhadap mental dan fizikal, sangat penat.

“Bila pulang ke rumah memang ‘burn out’ dan menangis,” katanya yang popular dengan watak Nuha dalam Dia Bukan Syurga lakonan bersama Niezam Zaidi dan Nazim Othman.

Dalam masa sama, dia mengakui merindui untuk kembali beraksi dalam drama genre romantik komedi.

“Ya memang nak, sebab itu saya beritahu mungkin tahun ini cuba habiskan untuk buat cerita-cerita berat.

Harap tahun depan saya berubah ke genre lain dan gembirakan jiwa semula dengan buat cerita-cerita romantik komedi,” jelasnya.

Terbaharu, dia bakal muncul dengan sebuah lagi drama berjudul Bulan Henti Bicara bergandingan dengan Azar Azmi serta Azhan Rani.

Ezzanie berkata, Bulan Henti Bicara juga antara drama terberat yang pernah dilakukan sepanjang bergelar pelakon.

“Masih dengan watak sama, air mata dan sebagainya tetapi boleh dikatakan antara drama yang berat juga untuk saya.

“Meski pun penulis drama ini sama seperti Dia Bukan Syurga dan harap orang dapat bezakan lakonan saya.

Semoga watak sebagai Zulfa Bulan Henti Bicara ini buat penonton lupakan seketika karakter Nuha dalam Dia Bukan Syurga, terlalu melekat dengan saya,” kongsinya.

Bulan Henti Bicara bakal ditayangkan menerusi slot Megadrama Astro bermula 27 Julai ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok