“SADDIQ akan bebas.”
Itu maklum balas abangnya kepada Syed Saddiq, Syed Abdullah Syed mengenai harapannya terhadap keputusan rayuan membabitkan Ahli Parlimen Muar itu, hari ini.
Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Space Dollah yang mengenakan kemeja biru dan bersongkok tiba di pekarangan Istana Kehakiman bersendirian pada pukul 8.12 pagi.
Difahamkan ibu bapanya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff pula tiba lebih awal iaitu sekitar 7 pagi tadi.
Pagi ini merupakan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan membabitkan empat pertuduhan iaitu pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.
Keputusan ini akan menentukan sama ada Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan kekal bebas jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan atau berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada pukul 9 pagi. – HIBGLAM
