‘Tahap biadab, kurang ajar mereka memang menguji’

PELAKON Syatilla Melvin meluahkan rasa bangga menjadi anak Melayu dan rakyat Malaysia selepas membandingkan pengalaman berdepan sikap segelintir individu di Tanah Suci sepanjang mengerjakan ibadah umrah.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, berkata pengalaman tersebut membuatkan dirinya lebih menghargai didikan serta adab masyarakat di negara ini.

“Sejujurnya aku tersangat amat bangga jadi anak Melayu dan orang Malaysia! Adab kita menang!

“Bila tengok orang-orang Arab dekat sini (Tanah Suci), ya Allah, memang menguji tahap biadab dan kurang ajar mereka.

“Jauh beza dengan didikan mak ayah kita. Walaupun bukan semua, tetapi memang betul-betul menguji tahap kesabaran aku,” katanya dalam Threads.

Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu menjelaskan kenyataannya bukan ditujukan kepada semua masyarakat Arab, sebaliknya hanya berdasarkan pengalaman peribadi sepanjang berada di sana.

Menurutnya, masih ramai individu bersikap baik, namun beberapa insiden dilalui membuatkan dia terpanggil berkongsi pandangan tersebut.

Rata-rata netizen senada dengan bintang drama Selafaz Cinta itu serta turut mengakui pernah melalui pengalaman hampir sama ketika menunaikan umrah atau haji.

“Faham sangat! Antaranya masa tengah sujud pun mereka boleh melangkah. Kalau tersepak pun buat tak tahu. Ya Allah, memang menguji.

“Aku bekerja dengan majikan Arab selama empat tahun, memang betul. Sikap mereka kadang-kadang sangat keras dan kepala batu.

“Orang Arab di Malaysia pun ada yang begitu. Budaya itu terbawa-bawa sampai memang memenatkan untuk berurusan,” antara komen netizen.

Bagaimanapun, terdapat juga netizen mempertahankan masyarakat Arab dengan menyifatkan sikap sedemikian tidak boleh digeneralisasikan kerana setiap bangsa mempunyai individu baik dan sebaliknya.

Difahamkan, Syatilla kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, Shaheizy Sam serta ahli keluarga. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok