PESERTA rancangan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Azeva akui dia tidak layak untuk menyertai Dolla kerana tidak selincah anggota-anggota kumpulan sensasi itu.
Menurut Azeva atau nama lengkapnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin, 25, kumpulan Dolla dia tidak pandai menari seperti Sabronzo, Tabby dan Angel.
“Saya tak layak sertai Dolla. Mereka sangat kreatif. Mereka bergerak seperti angin dan air. Saya pula bergerak seperti kayu, gaya zombi. Itu sahaja yang saya boleh buat.
“Jadi macam mana saya nak masuk kumpulan Dolla? Mereka semua sangat hebat. Saya hormati mereka,” katanya kepada Kosmo Online.
Sementara itu bagi ibu merangkap ‘manager’ kepada Azeva iaitu Datuk A. Aida, dia percaya dengan kemampuan anaknya untuk berdiri sebagai penyanyi solo.
“Untuk sertai kumpulan, tidak untuk anak saya. Anak saya ada pakej lengkap sebagai penyanyi solo.
“Saya sendiri yang akan keluarkan single untuk dia tanpa henti selepas ini,” jelasnya.
Terdahulu tular dalam media sosial apabila ada netizen mencadangkan agar Azeva menyertai kumpulan Dolla bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Syasya Rizal.
Menurut netizen, Azeva punya pakej lengkap dan dilihat sesuai untuk bersama dengan kumpulan Dolla. – HIBGLAM
