PENYANYI veteran yang juga peserta rancangan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), Jamilul Hayat enggan anaknya, Hussain dibayangi Datuk Jamal Abdillah iaitu abang kandungnya sendiri.
Menurut Jamilul atau nama sebenarnya Hayat Abdillah Mohd Ali, 65, ramai yang membuat perbandingan diantara Hussain dan Jamal.
“Saya sentiasa pesan kepada Hussain agar dia menjadi penyanyi yang versatil dan serba boleh. Jangan ada bayang-bayang bapa saudaranya.
“Ramai orang yang buat perbandingan. Sebab itu minggu ini, apabila Hussain akan menyampaikan lagu daripada Jamal, saya berbincang dengan pengarah muzik iaitu Chaan untuk keluar daripada bunyi Jamal,” katanya kepada Kosmo Online.
Ditanya apakah perasaannya apabila ramai yang berpendapat Hussain mempunyai pakej lengkap dan masa depan yang cerah dalam industri muzik, kata Jamilul dia bersyukur kerana bakat anaknya diterima baik.
“Saya bersyukur kerana Hussain mempunyai pakej lengkap sebagai seorang penyanyi dan penghibur.
“Sebab itu saya sentiasa tekankan kepada dia supaya sentiasa merendah diri. Kalau inilah jalan untuk dia, teruskan.
“Jadi tauladan yang baik dan murni kepada masyarakat. Nak jadi ‘public figure’, kena tunjuk contoh yang baik,” jelasnya.
Sementara itu bagi Hussain pula, dia akui masih banyak kekurangan biarpun ramai yang meramalkan dia bakal bergelar juara TTMM2.
“Saya ada banyak saingan dalam pertandingan ini. Saya tak pandai menari sangat. Sekarang ramai orang melihat lebih kepada persembahan berbanding vokal. Vokal kira macam bonus.
“Anggrek walaupun dia masih kecil, tapi punya jiwa yang besar dan pandai menari. Saya cemburu dengannya. Begitu juga dengan Ammara. Azeva pula sudah mula tunjuk taring. Kim Khairii juga,” ujarnya.
Biarpun lemah dalam tarian, namun Hussain tetap mengambil anisiatif untuk sertai kelas tarian meskipun terpaksa berlatih sehingga pukul 3 pagi demi mencantikkan lagi persembahannya.
Malam ini kesemua enam peserta yang tinggal akan berentap di peringkat separuh akhir yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria pukul 9 malam. – HIBGLAM