KETIADAAN vokalis, Ariel dalam Konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita akhirnya terjawab apabila penganjur mengesahkan penyanyi itu kini sedang berehat panjang daripada sebarang komitmen berkumpulan.
Ujar waki penganjur daripada Black Sky Enterprise, Thata Joyce Sigar, Ariel mengambil keputusan untuk ‘hiatus’ dan memberi fokus kepada perjalanan seni secara solo buat masa ini.
“Ariel kini sedang berehat panjang. Mungkin dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, malah kami sendiri tidak pasti sampai bila tempoh itu akan berlanjutan.
“Dia tidak bersama Peterpan mahupun Noah ketika ini kerana memilih bergerak secara solo.
“Selepas selesai penggambaran filem, dia kini lebih aktif dengan projek kolaborasi bersama artis lain,” katanya kepada HibGlam.
Menurut Thata, keputusan Ariel itu bukan satu kehilangan mutlak, sebaliknya membuka ruang baharu buat anggota lain untuk terus berkarya dan mengekalkan legasi kumpulan tersebut.
“Ariel sendiri mahu rakan-rakannya terus berkarya. Sebab itu Peterpan kini bergerak sebagai sebuah band tanpa kebergantungan penuh kepada dirinya.
“Walaupun perjalanan Peterpan tetap ada kaitan dengan Ariel, ini peluang terbaik untuk generasi muda mengenali kumpulan ini dengan lebih dekat,” ujarnya pada sidang media antarabangsa The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita di sini, semalam.
Konsert berkenaan bakal berlangsung pada 11 Julai depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya dan menampilkan barisan anggota asal seperti Reza, Loekman, Andika serta Indra.
Lebih menarik, acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan popular termasuk Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna, Charly Van serta penyanyi Malaysia, Hael Husaini. – HIBGLAM.
